Harian Metro

Aku berteman lara

- Nor Fazlina Abdul Rahim nfazlina@nstp.com.my

 Warga emas merempat sejak 17 tahun lalu mahu belajar agama

Sejak 17 tahun lalu, kehidupan Ab Rahim Yaacob tidak seperti warga emas lain apabila terpaksa hidup merempat di tepi jalan setiap hari berikutan tiada tempat tinggal kerana hidup sebatang kara.

Warga emas berusia 76 tahun itu terpaksa berpindah-randah di sekitar Kota Bharu semata-mata untuk melelapkan mata dan merehatkan badan sepanjang tempoh berkenaan.

Antara lokasi yang menjadi pilihan bapa kepada seorang anak itu merehatkan badan termasuk di kaki lima tepi bangunan, atas beca, masjid dan terkini dalam premis dobi pakaian.

Tinjauan mendapati sepanjang Ramadan ini, Ab Rahim banyak menghabisk­an masa berjalan di sekitar bandar dan akan berbuka seorang diri di mana-mana kedai yang lengang sebelum balik untuk tidur.

Tiada tilam atau selimut yang menjadi teman tidurnya sebaliknya warga emas itu hanya tidur berbantalk­an lengan dan beralaskan kotak sementara menanti hari siang.

Lebih menyedihka­n, kaki kiri Ab Rahim mengalami darah tersumbat sejak 10 tahun lalu dan kini semakin membengkak dan perlu ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) setiap minggu untuk mencuci luka.

Ab Rahim berkata, dia juga memasang impian untuk hidup selesa dan mempunyai kediaman sendiri namun tidak mampu kerana kehidupann­ya seharian hanya bergantung kepada bantuan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sebanyak RM400 sebulan.

“Beginilah saya menghabisk­an kehidupan setiap hari. Ke mana lagi saya mahu menumpang kerana saya tidak mengenali anak kerana bercerai sejak anak lelaki saya masih kecil.

“Saya pernah memohon untuk mendapatka­n rumah namun tidak boleh kerana saya tidak mempunyai tanah.

“Saya masih menaruh harapan sebelum meninggal dunia, sekurang-kurangnya saya boleh tinggal di pondok agama secara percuma. “Saya teringin untuk tinggal di pondok agama kerana pada masa sama saya boleh belajar agama kerana usia saya sudah tua dan ajal saya juga mungkin sudah dekat berbanding kehidupan saya kini yang tidak terurus,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Dia berkata, setiap minggu akan berjalan kaki ke hospital untuk mencuci luka dan disebabkan banyak bergerak menyebabka­n kaki kirinya semakin membengkak.

 ?? FOTO: FATHIL ASRI ?? AB Rahim menumpang tidur di sebuah kedai dobi 24 jam dengan beralaskan kotak.
FOTO: FATHIL ASRI AB Rahim menumpang tidur di sebuah kedai dobi 24 jam dengan beralaskan kotak.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia