Harian Metro

Baru bebas jahat balik

- Siti Rohana Idris cnews@nstp.com.my

 Lelaki dua bulan keluar penjara miliki dadah

Seorang lelaki sempat hidup bebas selama dua bulan sebelum ditahan semula polis di Kampung Pantai Geting di sini jam 10 pagi kelmarin kerana disyaki terbabit penyalahgu­naan dadah.

Sebelum itu, lelaki berusia 42 tahun yang baru di bebaskan pada Mac lalu selepas menjalani hukuman penjara empat tahun mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Ketua Polis Daerah Tumpat Superinten­dan Ab Rashid Mat Daud berkata, suspek ditahan dalam serbuan dilakukan pasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat di sebuah rumah di kampung itu.

“Ketika serbuan, suspek yang sudah tiga kali dihukum penjara berkaitan kes dadah berada di dalam rumah dan berlaku sedikit pergelutan dalam usaha menangkapn­ya.

“Kami menemui lapan botol plastik lut sinar yang mengandung­i serbuk putih disyaki heroin, 50 pil kuda dan 10 paket lut sinar berisi syabu dianggarka­n seberat 7.5 gram,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Menurutnya, semua dadah yang dirampas itu dianggarka­n bernilai RM17, 875 dan dadah itu dipercayai diperoleh daripada pembekal di Tak Bai, Thailand untuk dijual di sekitar Tumpat.

Ab Rashid berkata, suspek direman tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 39(A) ADB 1952 dan Seksyen 39B akta sama.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya menahan lima individu berusia 20 hingga 28 tahun di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Masjid Wakaf Bharu, pada Selasa lalu.

Dalam serbuan jam 9.30 malam, polis merampas 129 plastik berisi cecair warna perang dipercayai air ketum, 79 bungkusan plastik mengandung­i daun ketum yang digulung dan diikat serta 72 botol ubat batuk.

Turut dirampas dalam serbuan itu ialah dua biji pil Eramin 5, satu tong dan dapur gas, periuk yang dipercayai untuk merebus daun ketum serta wang tunai berjumlah RM1,180 dipercayai hasil jualannya.

Katanya, bekalan daun ketum diperoleh daripada pembekal di Pasir Mas dengan harga RM50 sekilogram manakala, daun ketum direbus akan dibungkus sebelum diedar kepada penagih di sekitar Wakaf Bharu dan Tumpat.

“Semua rampasan itu berjumlah RM6,000 dan suspek ditahan reman selama empat hari untuk siasatan mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia