Harian Metro

Hanya lewat tiga minggu

- Zulfaizan Mansor zulfaizan@nstp.com.my

 Subahan nafi FAS bergelut dengan masalah kewangan seperti yang didakwa

Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Subahan Kamal menafikan pihaknya berdepan masalah tunggakan gaji pemain.

Sebaliknya, Subahan berkata, hanya berlaku sedikit kelewatan dalam pembayaran gaji dan bonus kepada pemain selepas berjaya melangkah ke separuh akhir Piala FA.

“Isu gaji tak pernah timbul, saya pun hairan, cuma lambat tiga minggu. Ada orang (persatuan) lain tak bayar tiga bulan.

“Pemain pun tahu perkara ini dan mereka sentiasa berkomunik­asi dengan saya. Hari ini atau esok akan lunaskan bonus Piala FA dan saya harap mereka mara hingga ke final,” katanya selepas mesyuarat Exco FAS, semalam.

Subahan akan kekal sebagai Presiden FAS hingga 3 Julai ini sebelum berlaku peralihan kuasa kepada presiden baru.

Ia susulan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu melepaskan jawatan nombor satu FAS kerana bebanan tugas.

Selain itu, Subahan turut menjelaska­n beliau tidak akan meninggalk­an arena bola sepak negara biarpun melepaskan jawatan sebagai Presiden FAS.

Malah, beliau juga sedia memberi bantuan kepada FAS walaupun sudah tidak lagi memegang jawatan dalam persatuan itu.

“Saya masih Timbalan Presiden FAM, ramai orang lupa dan saya sudah sertai Selangor sejak 2013. Saya masih berada di Selangor dan menyokong pasukan ini. “Tak perlu (ada jawatan dalam FAS), kerana saya tahu bola sepak Malaysia tak perlukan jawatan. Kalau betul nak bantu kita boleh bantu,”

katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia