Harian Metro

Ahmad Razif belum pasti

- Sukanteam@nstp.com.my

Kuala Terengganu: Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman belum membuat keputusan lagi sama ada beliau akan terus menerajui persatuan bola sepak negeri itu ataupun menyerahka­n jawatan nombor satu itu kepada pengurusan baru selepas berlaku peralihan kuasa di negeri itu.

Setiausaha Agung PBSNT, Datuk Tengku Farouk Husin Tengku Abdul Jalil berkata, keputusan itu dijangka akan diketahui selepas mesyuarat PBSNT minggu depan.

“Saya belum boleh mengesahka­n sama ada beliau (Ahmad Razif) akan terus memimpin PBSNT ataupun menyerahka­n jawatan itu kepada pengurusan baru.

“Namun saya jangka keputusan sebenar akan dapat diketahui dalam mesyuarat persatuan itu yang akan diadakan sama ada pada Ahad atau Isnin depan,” kata Tengku Farouk.

Pada Disember 2016, Ahmad Razif yang kini bekas Menteri Besar Terengganu menang tanpa bertanding jawatan presiden dalam kongres luar biasa PBSNT bagi penggal 2017 hingga 2020.

Beliau adalah ‘orang kuat’ di sebalik penjenamaa­n semula pasukan bola sepak negeri menggantik­an bekas presiden terdahulu, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid yang melepaskan jawatan itu bagi memberi laluan kepada Ahmad Razif yang ketika itu Menteri Besar Terengganu.

Terdahulu pada 15 Mei lalu, Timbalan Presiden 1 PBSNT, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail mengambil keputusan mengejut meletak jawatan susulan peralihan kuasa kerajaan negeri itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia