Harian Metro

Hanya baju raya kenangan abadi

-

Kuantan: “Hanya baju raya dan kelengkapa­n Aidilfitri yang ditinggalk­an untuk saya kenang terutama pagi Syawal nanti,” kata Mazlan Mohd Rashid, 54.

Peniaga itu hilang isteri, Azian Abdullah, 50, dan tiga anaknya, Fatin Najwa Mazlan, 27, Fatin Nur Adriana, 15, dan Mohamad Danish Najmi, 10, selepas Perodua Myvi dinaiki mereka kemalangan di Kilometer 161.3 Lebuh raya Pantai Timur (menghala Kemaman), dekat Maran, kelmarin.

Dua lagi anaknya, Mohd Shahrul Ikhram, 20, dan Fatin Nur Athirah, 19, cedera serta dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh.

Menurut Mazlan, Aidilfitri ini bakal disambut suram dan tidak lagi bermakna apabila kehilangan insan tersayang dalam tempoh singkat.

“Saya reda dengan ketentuan Allah ini. Sudah takdir dan pastinya ada hikmah di sebalik dugaan ini.

“Namun, Aidilfitri kali ini tentunya suram, tidak seperti biasa dan yang tinggal hanyalah pakaian yang mereka beli di ibu negara tempoh hari.

“Ini sahajalah ada untuk saya kenang mereka,” katanya ketika dihubungi NSTP di sini, semalam.

Katanya, ahli keluarga dan rakan banyak membantuny­a untuk pulih daripada kesedihan itu, malah sentiasa memberikan kata-kata semangat untuk meneruskan hidup bersama tiga lagi anaknya.

“Mereka (saudara dan rakan) tidak henti-henti beri kata semangat sejak di Hospital Jengka (ketika menuntut jenazah) sampailah di tanah perkuburan, sentiasa tenang dan sabarkan saya.

“Jika tiada mereka, mungkin saya akan lebih sedih mengenangk­an nasib yang menimpa,” katanya yang semakin tenang menerima ujian itu.

Mazlan berkata, dua anaknya yang cedera sudah dibenarkan keluar dari HOSHAS, petang kelmarin dan kini berada di rumah mereka di Taman

Gemilang, Bandar Cheneh Baharu, Kemaman, Terengganu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia