Harian Metro

Tergolek dikejar imigresen

-

Alor Setar: Tindakan seorang lelaki warga Myanmar cuba melarikan diri daripada pemeriksaa­n anggota penguat kuasa mengundang padah apabila dia mengalami kecederaan akibat terjatuh ketika dikejar di Taman Delima, Sungai Petani, kelmarin.

Lelaki berusia 23 tahun itu antara 13 warga asing yang diberkas Jabatan Imigresen negeri dalam Op Mega membabitka­n rumah sewa, premis perniagaan dan tapak pasar malam.

Dalam pemeriksaa­n jam 5.30 petang itu, lelaki terbabit bersama seorang lagi rakan senegarany­a berada di luar rumah sebelum bertindak melarikan diri sejauh 300 meter namun diberkas, manakala rakannya sempat meloloskan diri.

Pengarah Imigresen negeri Zuhair Jamaludin, berkata dalam operasi bermula jam 3 petang itu, seramai 18 warga asing dari pelbagai negara diperiksa dan 13 daripadany­a ditahan disyaki melakukan kesalahan imigresen.

Menurut Zuhair, mereka yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki Indonesia, empat lelaki Myanmar, empat lelaki Bangladesh dan masing-masing seorang lelaki Nepal dan India.

Di samping itu, katanya, pemeriksaa­n bermula di premis menjual tekstil di Taman Keladi dan pihaknya menahan seorang lelaki India dipercayai bekerja di situ.

“Kemudian, kami menyerbu rumah sewa di taman sama dan mengesan tiga lelaki Indonesia cuba bersembuny­i dalam bilik air dan bilik tidur.

“Diikuti lokasi ketiga di Taman Delima, seorang lelaki Myanmar diberkas ketika cuba lolos tetapi gagal selepas berlaku pergelutan dengan anggota penguat kuasa.

“Akhir sekali, kami menahan lapan lelaki yang berniaga sayur-sayuran termasuk pelanggan mereka di pasar malam berhampira­n,” katanya di sini, semalam.

Zuhair berkata, semua warga asing berusia antara 20 dan 46 tahun itu ditahan kerana didapati melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia