Harian Metro

MAHLIGAI KANDANG KAMBING

Ibu tunggal menoreh getah raih RM10 sehari hidup daif bersama tiga anak

- Ramli Ibrahim cnews@nstp.com.my

“Apalah upaya saya untuk mengubah hidup. Saya miskin berpendapa­tan RM10 sehari dengan menoreh getah milik orang manakala RM5 daripada pendapatan itu digunakan untuk membayar upah kepada jiran yang menjaga anak yang berusia dua tahun ketika saya keluar menoreh.

“Disebabkan itu, kandang kambing tinggal ini yang menjadi tempat saya berteduh bersama tiga anak sejak lebih setahun lalu. Itu saja yang saya mampu,” keluhan ibu tunggal, Ruslida Kamarazama­n, 38, yang menghuni kandang kambing tinggal yang diubah suai di Kampung Chegar Bungor, di sini selepas bercerai dengan suaminya lebih setahun lalu.

Beliau yang berkahwin ketika berusia 16 tahun dikurniaka­n lima anak berusia dua tahun hingga 19 tahun. Dua daripada anaknya yang berusia 17 dan 19 tahun kini bekerja di Johor dan Kuala Lumpur. Mereka yang membantu menghulur wang setiap bulan kepadanya dengan kadar termampu.

Katanya, kandang kambing yang didiami kini tiada bekalan elektrik dan hanya menggunaka­n lilin bagi menerangi rumah sempit itu pada waktu malam.

“Bekalan air pula dari air bukit yang disalurkan melalui paip oleh Jabatan Kesihatan. Itulah dunia saya anak-beranak. Rumah orang lain ada elektrik, rumah kami hanya guna lilin. Nasib baik adik ipar sanggup bagi tinggal di bekas kandang kambing ini untuk kami berteduh,” katanya ketika dihubungi semalam.

Bekas kandang kambing itu juga turut ditambat dengan tali pada pokok bagi mengelak runtuh sekiranya berlaku ribut.

Ruslida berkata, mereka anak-beranak sering terputus bekalan makanan dan jika ada makanan pun hanya sekadar nasi dan kicap.

“Kami tidak pernah cukup duit, jika tiada makanan saya terpaksa berpuasa, manakala anak pula diberi makan nasi berkuahkan kicap.

“Anak lelaki berusia 13 tahun tidak mahu bersekolah kerana kemiskinan dan dia bekerja dengan mengambil upah mengangkat getah sekerap,” katanya.

Ruslida mengaku tidak kisah menghuni bekas kandang kambing itu kerana sekurang-kurangnya dia tidak perlu mengeluark­an belanja membayar sewa rumah, bil elektrik dan air.

Baginya, cukup mereka mempunyai tempat berteduh dan rumah sedaif mana sekali pun akan dijadikan ‘syurga’ mereka.

Sehingga kini, keluarga itu tidak menerima bantuan daripada mana-mana pihak dan berharap ada dermawan yang prihatin untuk membolehka­n mereka meneruskan hidup lebih selesa.

Kepada insan yang sudi membantu, sumbangan boleh dibuat melalui akaun Bank Rakyat 2210862641­41.

Menjelang Aidilfitri ini, Ruslida belum membuat sebarang persiapan dan hanya menunggu wang pemberian anaknya untuk membeli barang keperluan.

“Jika anak dapat gaji, boleh saya gunakan untuk buat persiapan raya ala kadar. Cukuplah sekadar apa yang ada,” katanya.

 ??  ??
 ??  ?? RUSLIDA bersama anaknya tinggal di kandang kambing di Kampung Chegar Bungor.
RUSLIDA bersama anaknya tinggal di kandang kambing di Kampung Chegar Bungor.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia