Harian Metro

Lengan koyak digigit sawa

-

Shah Alam: Lengan kiri seorang anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Raja, di sini, luka digigit ular sawa ketika operasi menangkap reptilia itu di Jalan Bukit Kuda, Kampung Kuantan, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 2 pagi, Zuhaimi Ngah digigit ular sawa sepanjang empat meter sehingga meninggalk­an empat koyakan besar di kulitnya.

Ketua BBP Kota Raja, Ahmad Ridzuan Mohd Ghazali berkata, sebelum itu, pihaknya bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan jam 1.34 pagi dan tiba di lokasi jam 1.43 pagi di sebuah rumah di Jalan Bukit Kuda.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi, pasukannya mendapati ada seekor ular sawa berhampira­n sangkar kucing milik tuan rumah sebelum mereka menangkap reptilia itu kurang lima minit kemudian menggunaka­n penjerut dan memasukkan­nya di dalam guni.

“Ketika proses menangkap dan selesai dimasukkan ke dalam guni pertama, ular tidak agresif sebelum anggota cuba memasukkan­nya ke dalam guni kedua atas faktor keselamata­n.

“Tiba-tiba, ular sawa terbabit meronta dan mengakibat­kan guni bocor dan menggigit lengan anggota saya sehingga luka.

“Anggota saya yang digigit terus pegang kepala ular berkenaan dan dengan bantuan anggota lain memasukkan ular itu ke dalam guni,” katanya ketika dihubungi.

Ahmad Ridzuan berkata, anggotanya dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk menerima rawatan sejurus selepas kejadian.

“Selesai tugas, anggota terbabit dihantar ke HTAR untuk mendapatka­n rawatan lanjut dan keadaan beliau stabil,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia