Harian Metro

Lucut hak pemilikan bendung PPR jadi koloni warga asing

-

Kuala Lumpur: Tindakan tegas termasuk melucutkan hak pemilikan dianggap langkah berkesan dalam usaha memastikan Projek Perumahan Rakyat (PPR) tidak disewakan kepada warga asing.

Pengerusi PPR Anggerik Pantai Dalam Mohd Noh Abu berkata, sikap tidak bertanggun­gjawab segelintir pemilik unit kediaman mengundang rasa tidak selesa penghuni lain.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk penguat kuasa serta jabatan berkaitan perlu melakukan pemantauan bagi mengenal pasti pemilik yang menyewakan unit kediaman mereka kepada warga asing.

“Kami sendiri sudah mengesan beberapa pemilik unit kediaman di PPR Anggerik ini yang menyewakan rumah mereka kepada warga asing dari Indonesia dan Bangladesh.

“Laporan sudah dibuat sebelum ini, namun belum ada sebarang tindakan diambil, harap kerajaan kali (sekarang) ini lebih tegas menyelesai­kan masalah ini.

“Penduduk sedia beri kerjasama dengan memantau atau mengenal pasti kediaman disewakan kepada warga asing,” katanya.

Sementara itu, penghuni PPR Pantai Permai Kerinchi, Noraishah Ibrahim, 50, mengakui berasa tidak selesa berjiran dengan warga asing.

Dakwanya, ada dalam kalangan pemilik asal sebenarnya memiliki rumah lain dan menyewakan unit kediaman berkenaan kepada warga asing untuk menjana pendapatan.

Dia yang hampir 13 tahun menghuni di PPR itu mendakwa kerana mahu mendapatka­n wang dengan cara mudah, ada kalangan pemilik unit kediaman terbabit mengenakan kadar sewa tinggi kepada warga asing.

“Bila sudah terlalu ramai warga asing pelbagai masalah timbul. Nak lepaskan anak-anak terutamany­a yang kecil bermain di luar rumah pun risau. Apa tidaknya kami tak kenal siapa jiran kami,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia