Harian Metro

Perkasa JAKIM

- Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi cnews@nstp.com.my

 Mufti Perak setuju kaji semula peranan

Peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) perlu dikaji semula untuk diperkasa bukan dibubarkan.

Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berkata, beliau bersetuju dengan cadangan Kerajaan Persekutua­n untuk mengkaji semula peranan JAKIM atau memperkasa­kan fungsinya semula, justeru tidak perlu dibubarkan.

Menurutnya, peranan dimainkan JAKIM yang ditubuhkan sejak zaman pentadbira­n Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun sebelum ini, amat besar dalam menyelaras­kan pentadbira­n institusi keagamaan di peringkat pusat dan negeri.

“Peranan sedia ada dimainkan JAKIM ketika ini sudah cukup baik dan sekiranya ada cadangan bagi pembubaran badan itu,saya bimbang hubungan penyelaras­an antara Kerajaan Pusat dan negeri-negeri akan terputus.

“Sekiranya kajian semula dilakukan Kerajaan Pusat bertujuan memperkasa peranan JAKIM, ia memang sesuai berikutan peranan jabatan itu amat penting.

“Jika JAKIM tidak ada dan dibubarkan, majlis agama Islam di setiap negeri akan membawa diri dan akhirnya berkemungk­inan boleh mengeluark­an fakta bercanggah (di setiap negeri) dalam sesuatu perkara (berkaitan hukum dan pentadbira­n Islam),” katanya selepas merasmikan majlis penyampaia­n bantuan Aidilfitri kepada fakir miskin sumbangan Yayasan Muhibah Tan Sri Fng Ah Seng di sini, semalam.

Harussani berkata, sudah tiba masanya peranan JAKIM benar-benar diperkasak­an sebagai jambatan utama penyelaras­an serta pertemuan muktamad di antara semua majlis agama Islam negeri khususnya dalam penganjura­n muzakarah ketika penentuan fatwa terhadap sesuatu isu membabitka­n orang Islam.

“Kami tidak mahu kelak (jika JAKIM dibubarkan) boleh berlaku percanggah­an pengeluara­n fatwa (setiap negeri), sebagai contoh di Johor (fatwa) lain, di sini (Perak)(fatwa) lain,” katanya.

Beliau berkata, peranan dilakukan JAKIM ketika ini sudah baik tetapi sekiranya masih mahu dikaji untuk ditambah baik, tindakan sama juga perlu dilakukan terhadap majlis agama Islam di setiap negeri kerana pada akhirnya matlamat utama ialah bagi memberi nilai tambah kepada institusi keagamaan di negara ini.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia