Harian Metro

Dah jadi lain pula

- Safeek Affendy Razali cnews@nstp.com.my

 Kejadian bunuh diri suami isteri bertukar siasatan kes bunuh selepas polis temui unsur tekanan pada leher wanita

Siasatan kejadian bunuh diri membabitka­n suami isteri di pangsapuri di Sungai Chua di sini, Selasa lalu, bertukar menjadi kes bunuh selepas polis menemui unsur tekanan pada leher wanita terbabit.

Dalam kejadian jam 9.05 pagi itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menerima maklumat daripada seorang wanita mengenai ibunya yang tidak sedarkan diri dalam rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, hasil pemeriksaa­n pihaknya menemui seorang wanita berusia 42 tahun sudah meninggal dunia dalam sebuah bilik tidur selepas disahkan oleh pegawai perubatan dari Hospital Kajang.

“Polis turut menemui suami kepada si mati berusia 44 tahun yang tidak sedarkan diri dalam bilik air rumah berkenaan.

“Berdasarka­n siasatan awal dibuat, polis pada masa itu percaya si mati dan suaminya cuba membunuh diri dengan memakan baja atau racun yang ditemui dalam bilik si mati,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, pada masa sama polis menemui satu nota dalam dompet lelaki terbabit yang menyatakan hasrat membunuh diri oleh si mati.

“Berdasarka­n petunjuk yang ada kes itu kemudian diklasifik­asikan sebagai kematian mengejut (SDR) dan suaminya yang dalam keadaan kritikal serta tidak sedarkan diri dihantar ke Hospital Kajang untuk rawatan lanjut.

“Namun, selepas laporan bedah siasat dilakukan ke atas si mati semalam (kelmarin) mendapati sebab kematian wanita itu adalah akibat kesan tekanan di leher,” katanya.

Ahmad Dzaffir berkata, laporan bedah siasat turut mendapati kesan lebam di bahagian belakang kepala, tulang rawan kanan patah dan luka kecil pada jari kaki kiri wanita itu.

Katanya, kecederaan itu menimbulka­n unsur jenayah dan kes diklasifik­asikan sebagai bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Selain itu, siasatan awal mengenai latar belakang suami si mati yang juga pengawal keselamata­n mendapati dia mempunyai masalah psikologi dan masih mendapat rawatan psikiatri di Hospital Kajang.

“Malah, si mati dan suaminya dilaporkan mempunyai masalah rumah tangga serta dalam proses perceraian,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubung­i Asisten Superinten­dan Azlinda Abtu di talian 012 6853281 untuk membantu siasatan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia