Harian Metro

Tak sedar ditipu RM60,000

- Yusmizal Dolah Aling yusmizal@hmetro.com.my

 Lelaki dibelenggu hutang along diperdaya sindiket dakwa diri pengumpul syiling, wang lama

Dia ditawarkan AS$28,000 (RM110,000) untuk empat keping duit kertas RM2 yang pernah dikeluarka­n Bank Negara Malaysia satu masa dulu oleh sindiket yang mendakwa diri mereka sebagai pengumpul wang dan syiling lama.

Kebetulan dia menyimpan wang berkenaan untuk koleksi peribadi sejak beberapa tahun lalu dan menghadapi masalah kewangan selepas ditipu dalam urusan jual beli telefon pintar secara atas talian menyebabka­nnya kerugian RM120,000, hujung tahun lalu.

Tawaran terbabit menjadikan seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Rusli, 34, gelap mata dan membuat bayaran pelbagai jumlah lebih 10 kali kepada sindiket yang mendakwa berpangkal­an di United Kingdom itu selain sanggup menyerahka­n butiran peribadi termasuk kata laluan bank kepada mereka.

Rusli berkata, dia menerima pesanan daripada individu tidak dikenali melalui aplikasi WhatsApp, hujung tahun lalu yang bertanyaka­n sama ada dia mempunyai wang atau syiling lama yang ingin dijual dengan tawaran maksimum berjumlah AS$90,000 (RM350,000) bergantung kepada fizikal wang itu sama ada masih elok atau tidak.

“Pada awalnya saya diminta memasukkan wang berjumlah RM850 untuk bayaran guaman ke SunTrust Bank di atas nama Jason Lamb Dutton untuk membolehka­n proses selanjutny­a dijalankan dan urusan jual beli dimuktamad­kan.

“Selang beberapa hari, sindiket berkenaan menghantar mesej dan meminta lagi sejumlah wang.

“Hal yang sama berlaku berulang kali sehingga saya tidak sedar sudah memasukkan RM60,000, semuanya duit simpanan serta pinjaman along,” katanya ketika membuat aduan kepada sekretaria­t Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), semalam.

Rusli berkata, selang beberapa bulan, dia masih belum menerima pengesahan berhubung transaksi jual beli terbabit menyebabka­n dia berhubung dengan individu berkenaan menerusi e-mel untuk bertanyaka­n perkembang­an urusan berkenaan.

Katanya, dia dimaklumka­n masih perlu membayar sejumlah wang kononnya untuk diserahkan kepada pihak berkuasa yang menjaga akta berkaitan online di United Kingdom, bayaran peguam dan perkhidmat­an lain menyebabka­n dia mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena.

“Saya teruskan menghantar e-mel seperti biasa kerana tidak mahu mereka menghilang­kan diri.

“Duit yang ada semua sudah diserahkan kepada mereka sampaikan saya pula berhutang dengan along.

“Tidak lama kemudian, saya terima mesej mengatakan individu yang memperdaya saya sudah ditahan dan akan dibicaraka­n di mahkamah di Washington, Amerika Syarikat.

“Mereka minta lagi bayaran RM1,000 untuk membiayai yuran guaman. Mereka juga mendakwa terdapat enam lagi mangsa dalam kes itu yang turut akan diwakili peguam sama.

“Buat masa ini, saya masih belum buat apa-apa bayaran kerana bimbang ia juga satu penipuan,” katanya yang turut membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, minggu lalu.

Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya akan merujuk kes berkenaan kepada Bukit Aman untuk tindakan lanjut dan membantu pengadu menyelesai­kan masalah hutang along yang dihadapi dalam masa terdekat.

“Dia ada dua pinjaman berjumlah lebih RM20,000. Kita akan bantu dengan berbincang dengan along terbabit.

“Cuma dalam kes seperti ini, perlu ada semakan terlebih dulu dengan Bank Negara bagi mengelakka­n ditipu pihak tidak bertanggun­gjawab,” katanya.

 ??  ?? TRANSAKSI yang dibuat mangsa untuk suspek.
TRANSAKSI yang dibuat mangsa untuk suspek.
 ??  ?? PERBUALAN mangsa dengan suspek.
PERBUALAN mangsa dengan suspek.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia