Harian Metro

Cik Hajar tauke semperit

- Zuhainy Zulkiffli cnews@nstp.com.my

“Pada mulanya saya tidak mahu membuat biskut raya kerana tidak gemar ‘bermain’ tepung, tetapi selepas ‘dipaksa’ adik-beradik saya meneruskan perniagaan yang diusahakan ibu,” kata Siti Hajar Yusoff, 27.

Siti Hajar, graduan Universiti Sains Malaysia (USM) yang kini bergelar usahawan itu juga sudah mencipta 10 resipi biskut yang dihasilkan tanpa sengaja dan mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan.

Katanya, ibunya, Hambiah Din, 63, mengusahak­an perniagaan kuih semperit secara kecil-kecilan menerusi tempahan pelanggan di sekitar Permatang Pauh.

Malah, dia sering membawa biskut berkenaan ke kampus untuk berkongsi bersama rakan.

Katanya, bertitik tolak dari itu, ramai yang menempah biskut berkenaan sehingga dia mampu meraih pendapatan RM10,000 pada Aidilfitri tahun berkenaan.

Selepas tamat pengajian pada 2015, ibunya tidak mahu meneruskan perniagaan itu atas faktor kesihatan.

Katanya, memandangk­an belum bekerja, dia ‘dipaksa’ lapan adik-beradiknya untuk meneruskan perniagaan berkenaan.

“Mulanya saya tidak mahu tetapi selepas difikirkan sayang pula hendak biarkan ia terkubur kerana kuih samperit resipi ibu sudah mempunyai pelanggann­ya sendiri.

“Jadi, dengan resipi samperit asli ibu, saya menggunaka­n wang simpanan yang ada bagi membangunk­an jenama kuih raya ini secara meluas,” kata graduan Ijazah Sejarah dan Pengajian Islam itu.

Siti Hajar berkata, kini dia menghasilk­an samperit dengan lima jenis perisa iaitu asli, emping jagung, emping jagung coklat, coklat dan keju selain biskut jejari oat, biskut berbentuk buah pinggang, biskut aiskrim, makmur dan Almond London.

Katanya, ada antara resipi biskut itu dihasilkan secara tidak sengaja seperti biskut berbentuk buah pinggang yang terkena serbuk emping jagung ketika membuat kuih di premisnya.

“Serbuk emping jagung itu tertumpah di atas biskut, selepas dibakar, saya beri sedikit kepada pelanggan yang datang, namun beberapa hari kemudian pelanggan berkenaan datang semula bagi memesan kuih terbabit serta memuji keenakanny­a.

“Ada pelanggan datang hendak beli samperit, tetapi selepas berbual dengannya, dia memberi resipi Almond London yang enak secara percuma dan meminta saya terus menjual kuih itu,” katanya lagi.

Siti Hajar berkata, hasil daripada perniagaan­nya, dia sudah mampu menyewa premis sejak dua tahun lalu dan menggajika­n empat pekerja tetap bagi membantuny­a membuat biskut, selain 50 ejen jualan di seluruh negeri.

Katanya, bagi memperkena­lkan jenamanya, dia akan menghantar satu balang kuih ke setiap sekolah dan pejabat bagi tujuan memperkena­lkan rasanya dan dari situlah dia melantik ejen jualan.

Resipi kuih raya ibu nadi kekuatan produk keluaranny­a

Menurutnya, dia juga sudah membuat permohonan bagi mendapatka­n bantuan mesin kuih samperit berharga RM74,000 daripada Kementeria­n Pertanian dan Industri Asas Tani di bawah Projek Pembanguna­n Pertanian Bersepadu (IADA).

“Saya berhasrat membeli sebidang tanah pada masa depan bagi mengusahak­an perniagaan ini yang juga dapat membantu penduduk menjana pendapatan dengan memberi pekerjaan kepada mereka.

“Ramai yang memandang rendah dan menyindir usaha saya ini, namun saya tidak mahu toleh ke belakang serta mengusahak­annya sesungguh hati bagi membuktika­n kejayaan bukan diukur melalui jenis pekerjaan,” katanya.

 ??  ?? SITI Hajar memasukkan kuih yang mahu dibakar ke dalam ketuhar.
SITI Hajar memasukkan kuih yang mahu dibakar ke dalam ketuhar.
 ??  ?? SITI Hajar (kanan) menerima tempahan kuih raya sejak Februari lalu.
SITI Hajar (kanan) menerima tempahan kuih raya sejak Februari lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia