Harian Metro

Tak mengaku sogok pegawai JPNT RM5,000

-

Kuala Terengganu: Seorang pengusaha kayu balak mengaku tidak bersalah atas dakwaan cuba memberi suapan RM5,000 kepada pegawai Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu (JPNT) supaya tidak mengambil tindakan terhadap penemuan kayu balak tidak bercop.

Tertuduh, Tan Tee Long, 56, turut memohon untuk dibicaraka­n atas pertuduhan itu sebaik membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim Jamaludin Mat di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Mengikut pertuduhan, Tan Tee Long memberi suapan bernilai RM5,000 kepada Penolong Pengarah (Operasi) JPNT sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap kayu balak bulat miliknya yang dikesan tidak mempunyai cop tukul JPNT pada 2 April lalu di premis perindustr­ian dekat Kampung Bintang, Setiu.

Pemilikan kayu balak bulat tanpa cop Jabatan Perhutanan adalah salah di sisi undang-undang mengikut Seksyen 15 Akta Perhutanan Negara 1984.

Justeru, tertuduh yang diwakili peguam Latifah Ariffin dari Latifah Ariffin & Co, didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 kerana menawar atau memberi suapan.

Pertuduhan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Amer Abu Bakar Abdullah.

Hakim Jamaludin kemudianny­a menetapkan 30 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri di Balai Polis Jertih, Besut sehingga tarikh sebutan semula kes berkenaan.

 ??  ?? PENGUSAHA kayu
balak dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu,
semalam.
PENGUSAHA kayu balak dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia