Harian Metro

Beri sinar harapan

- Noor Atiqah Sulaiman cnews@nstp.com.my

 Nasib 11 beranak dapat perhatian ahli perniagaan sumbang mesin cetak

“Dengan sumbangan mesin percetakan ini, ia benar-benar membantu meringanka­n beban dihadapi keluarga saya,” kata Azahari Ibrahim, 49, bapa kepada 11 anak termasuk dua daripada mereka menghidap barah darah dan jantung berlubang.

Kisah keluarga Azahari sebelum ini mendapat liputan akhbar Januari lalu, namun cerita itu kembali tular di laman sosial

apabila guru di sekolah anaknya berkongsi mengenai masalah dihadapi keluarga berkenaan.

Bercerita mengenai sumbangan diterima, Azahari berkata, sebelum ini, dia memang ada membuka kedai percetakan secara kecil-kecilan di Presint 9 namun dia kurang bernasib baik apabila kedai yang menjadi sumber pendapatan utama keluargany­a terbakar.

Menurutnya, sumbangan diberikan ahli perniagaan dan dermawan terkenal dari Kelantan, Datuk Seri Sunny Ung itu benar-benar mengembali­kan sinar harapan kepada keluargany­a untuk meneruskan kehidupan seperti sedia kala.

“Saya mengucapka­n terima kasih kepada beliau (Datuk Seri Sunny Ung) kerana bukan sahaja memberi sumbangan mesin pecetakan, tetapi turut memberi bantuan secara bulanan barang asas keperluan dapur, lampin untuk dua anak kembar serta susu khas bagi anak saya yang sakit.

“Selain itu, beliau turut memberi sumbangan duit raya dan baju raya kepada anak anak saya, ia sudah cukup untuk memberi sinar harapan kepada saya dan anak-anak untuk menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

“Isteri saya bekerja sebagai kerani di Kementeria­n Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), tetapi dia dalam proses untuk mengambil cuti tanpa gaji kerana perlu menjaga anak di HKL (Hospital Kuala Lumpur) yang masih memerlukan rawatan dan pemantauan selama dua tahun,” katanya kepada NSTP ketika ditemui di rumahnya di Presint 14, di sini, semalam.

Azahari berkata, sebelum ini, keluargany­a ada menerima sumbangan daripada beberapa individu serta komuniti setempat, tetapi bukan secara berterusan.

Sementara itu, Sunny berharap kerajaan, khususnya Kementeria­n Pembanguna­n Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang diketuai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah wan Ismail dan MOA sebagai majikan isteri Azahari dapat membantu keluarga berkenaan terutama dari segi pembayaran gaji serta membayar sewa rumah sebanyak RM450 sebulan.

“Isteri Azahari adalah penjawat awam yang bekerja di Putrajaya, jadi diharapkan Menteri KPWKM, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dapat membantu keluarga ini kerana sumbangan Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterima memang tidak cukup untuk menampung perbelanja­an mereka. Kalau boleh, sumbangan itu lebih fleksibel dan berdasarka­n keperluan keluarga terbabit.

“Saya sudah menghantar khidmat SMS kepada Menteri MOA, Salahuddin Ayub supaya isteri Azhari ini mendapat cuti khas dengan gajinya masih berjalan kerana keluarga ini hanya bergantung kepada pendapatan wanita berkenaan untuk meneruskan kehidupan.

“Selain itu, saya juga berharap keluarga ini diberikan penempatan kekal di Putrajaya selain mempertimb­angkan supaya mereka tidak perlu membayar duit sewa rumah,” katanya.

Sunny berkata, beliau sangat terkejut dengan keadaan keluarga berkenaan dan tidak menyangka situasi seperti dihadapi oleh keluarga Azahari itu berlaku di kawasan yang pesat membangun seperti di Putrajaya.

“Ini kali pertama saya hulurkan bantuan kepada keluarga yang menetap di kawasan sebegini, sebelum ini semua pertolonga­n saya berikan kepada keluarga di pendalaman terutama di Kelantan.

“Ketika tiba di sini, jalannya begitu luas, mempunyai lampu jalan tetapi masih ada keluarga yang tercicir. Keluarga ini ditakdirka­n sebegini, masalah ini bukan daripada mereka tetapi ia adalah masalah masyarakat. Keprihatin­an tiada dalam masyarakat sekeliling, sekiranya seorang menderma RM1, pasti masalah ini dapat diselesaik­an,” katanya.

Sebelum ini, dalam satu kenyataan diberikan KPWKM berkata, Azahari mendapat Bantuan Penjagaan Pesakit Kronik atau Orang Kurang Upaya (OKU)Terlantar (BPT) mulai Februari 2018 hingga Januari 2019 sebanyak RM350 sebulan bagi keperluan anak ketujuhnya yang menghidap penyakit barah darah.

Selain itu JKM Wilayah Persekutua­n Kuala Lumpur turut menyampaik­an bantuan berjumlah RM300 melalui Tabung Bantuan Segera.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia