Harian Metro

TAK MOHON EKSTRADISI

Kerajaan mungkin pertimbang kurangkan hukuman terhadap Sirul Azhar

- Azura Abas, Syed Umar Ariff, Irwan Shafrizan Ismail dan Zanariah Abd Mutalib cnews@nstp.com.my

Kerajaan tidak memohon ekstradisi bagi membawa pulang Sirul Azhar Umar. Bagaimanap­un, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan mungkin mempertimb­angkan untuk mengurangk­an hukuman terhadap Sirul daripada hukuman gantung sampai mati kepada penjara.

“Sirul tidak akan pulang kerana akan digantung, dia mungkin pulang jika hukumannya dikurangka­n.

“Tapi, jika dia masih rasa terancam termasuk bimbang akan dibunuh sekiranya pulang ke negara ini, kita tidak akan paksa dia pulang.

“Kita juga tidak mohon (dengan kerajaan Australia) untuk ekstradisi Sirul,” katanya pada sidang media selepas mempengeru­sikan Mesyuarat Jawatankua­sa Kabinet Mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan, semalam.

Perdana Menteri berkata demikian bagi mengulas laporan The Guardian Australia yang mendakwa pihak berkuasa Australia sudah meluluskan permintaan Malaysia untuk mengekstra­disi Sirul.

Akhbar itu memetik satu sumber yang berkata, kerajaan Malaysia sudah memohon kepada Australia supaya Sirul dibawa pulang dan rancangan itu diberi ‘lampu hijau’ selepas Malaysia bersetuju menanggung kosnya.

Sirul, 45, sebelum ini disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam kerana membunuh wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006 dan dia kini dalam tahanan di Brisbane, Australia selepas melarikan diri ke negara itu pada 2015.

Ditanya sama ada kerajaan akan membuka kembali kes pembunuhan Altantuya, Dr Mahathir berkata, terdapat permohonan berkenaan perkara itu.

“Ada permohonan untuk kita melihat. Ya, kita akan melihatnya,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia