Harian Metro

DISINGGAHI 150 BURUNG

- Nur Izzati Mohamad cnews@nstp.com.my

Hutan Pelajaran Air Itam Dalam jadi tumpuan pencinta alam semula jadi

Terletak di tepi jalan bertentang­an sawah padi, siapa sangka terdapat sebuah hutan yang menjadi tarikan pencinta alam semula jadi bukan saja dari Pulau Pinang malah dari negeri lain khususnya di utara tanah air.

Dikenali Hutan Pelajaran Air Hitam Dalam, sudah tentu objektifny­a mahu memberi pendedahan dan ilmu kepada pengunjung berkaitan khazanah alam yang ada di kawasan itu.

Kaya dengan hidupan flora dan fauna, hutan yang terletak dalam kawasan Sungai Dua dekat sini, turut menjadi tumpuan peminat burung apabila dianggarka­n hampir 150 spesies burung menjadikan kawasan itu sebagai tempat persinggah­an sebelum pulang ke habitat asal.

Tidak hairanlah hutan berkenaan menjadi tumpuan kaki burung dan jurugambar untuk merakam foto haiwan berkenaan di samping menghayati pemandanga­n menakjubka­n.

Pengunjung Nur Syahadah Omar, 20, berkata, dia yang gemar melihat panorama flora dan fauna tidak melepaskan peluang meneroka pelbagai jenis hutan di negara ini.

Baginya selain aktiviti riadah yang menyihatka­n, ia boleh mengurangk­an tekanan dan merehatkan minda seketika.

“Cinta saya terhadap alam semula jadi sukar untuk digambarka­n kerana saya gemar menghabisk­an masa melihat pemandanga­n yang mempunyai pelbagai khazanah alam.

“Aktiviti itu menjadi rutin setiap kali cuti semester dan pasti saya akan mengajak keluarga untuk ke tempat yang berlatarbe­lakangkan alam semula jadi bagi menghayati­nya hingga ia menjadi hobi pada masa lapang,” katanya di sini, baru-baru ini.

Nur Syahadah yang juga penuntut Politeknik Ungku Omar, Ipoh, berkata, dia yang menetap di Sungai Petani, Kedah mengetahui mengenai hutan pelajaran itu daripada rakan yang menceritak­an keterujaan mereka melihat pelbagai spesies flora dan fauna di situ.

“Antara yang menarik perhatian saya ketika hampir satu jam berada di sini ialah spesies burung yang tidak pernah dilihat sebelum ini dan jarang ditemui.

“Menaiki jambatan gantung dan melihat pelbagai spesies tumbuh-tumbuhan juga memberi suasana mendamaika­n,” katanya.

Bagi Radhi Ali, 65, dia yang menjaga persekitar­an hutan berkenaan sejak lima tahun lalu mendapati kawasan itu menjadi tarikan untuk pengkaji, penyelidik universiti dan jurugambar.

“Walaupun banyak kemudahan disediakan, tempat ini tidak terlalu ramai dikunjungi orang awam, tetapi banyak pengantin suka datang ke sini pada hujung minggu untuk mengambil foto perkahwina­n.

“Pada hari biasa, hutan ini sinonim dengan jurugambar dan penyelidik yang datang membuat kajian,” katanya.

Hutan yang meliputi kawasan paya darat seluas 11 hektar serta bersempada­n dengan dua sungai iaitu Sungai Kereh dan Sungai Air Hitam itu mempunyai spesies fauna paya darat seperti memerang, monyet dan biawak, selain pengunjung mendengar bunyi cengkerik.

Sekiranya bernasib baik, pengunjung boleh melihat spesies buaya yang kadang-kadang timbul di sungai berhampira­n.

Lebih menarik, hutan kendalian Jabatan Perhutanan itu tidak mengenakan bayaran kepada pengunjung.

Untuk memudahkan mereka menikmati keindahan panorama alam semula jadi, pelbagai kemudahan disediakan seperti pelantar pejalan kaki, pondok rehat, jambatan gantung dan pelantar pemandanga­n.

Penggemar burung yang mahu dikenali sebagai Wong, 40-an, berkata, waktu terbaik untuk melihat hidupan berkenaan adalah pada waktu pagi dan ketika matahari terbenam.

“Hutan ini adalah taman rekreasi yang menarik kerana ia bukan saja kaya dengan habitat flora dan fauna, penduduk juga tinggal berdekatan hingga menjadikan kawasan ini begitu unik untuk dikunjungi,” katanya.

 ??  ?? NUR Syahadah TITI gantung memudahkan pengunjung melihat spesies flora paya darat.
SPESIES burung dan rama-rama yang
jarang ditemui.
TITI gantung dan menara tinjau yang disediakan beri peluang pengunjung melihat hidupan hutan dengan jelas.
NUR Syahadah TITI gantung memudahkan pengunjung melihat spesies flora paya darat. SPESIES burung dan rama-rama yang jarang ditemui. TITI gantung dan menara tinjau yang disediakan beri peluang pengunjung melihat hidupan hutan dengan jelas.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia