Harian Metro

Jel 19 tahun bakar mati keluarga

-

Tokyo: Seorang lelaki dihukum penjara 19 tahun kerana membakar mati isteri yang sarat mengandung dan dua anaknya yang kecil di Tome, wilayah Miyagi, tahun lalu.

Japan Today melaporkan, Yoshiaki Shimaya, 47, mengaku membunuh isterinya, Miyu, 31, dan anak perempuan, Mao serta lelaki Kyosuke yang masing-masing berusia tiga tahun dan setahun, lapor Fuji TV kelmarin.

Mahkamah diberitahu, pada jam 2.30 pagi, 4 Julai tahun lalu, Shimaya membakar tilam dengan pemetik api di bilik tidur di tingkat dua kediaman utama mereka.

Ahli keluarga lain yang tinggal bersama mereka iaitu ibu bapa Shimaya, anak sulung, nenek dan adiknya sempat menyelamat­kan diri dalam kebakaran itu.

Isterinya yang sarat mengandung ketika itu, sempat menghubung­i talian kecemasan memaklumka­n suaminya membakar rumah.

Dia pada mulanya keluar dari rumah itu, namun meninggal dunia selepas masuk semula untuk menyelamat­kan dua anaknya.

Shimaya ditahan polis sejam kemudian selepas api marak hingga ke jalan raya dengan jarak kira-kira tujuh kilometer dari rumahnya.

Mahkamah turut diberitahu, Miyu pernah cuba mendapatka­n bantuan polis pada 2015 kerana suaminya sering mabuk dan menderanya secara fizikal.

Peguam bela Shimaya mendakwa anak guamnya mabuk ketika kejadian dan tidak berniat untuk membunuh sesiapa. - Agensi

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia