Harian Metro

PERGI BERSAMA

- Zarina Abdullah news@nstp.com.my

Suami isteri maut, anak cedera motosikal dirempuh kenderaan terbabas

Sepasang suami isteri maut, manakala anak lelaki mereka berusia lapan tahun cedera apabila motosikal dinaiki dirempuh sebuah kereta Proton Saga Aeroback dalam kejadian di Kampung Tempinis, di sini.

Dalam kemalangan kira-kira jam 6.30 petang kelmarin, mangsa, Mat Halimi Ibrahim, 31, yang juga buruh dari Kampung Pulau Berangan, Bukit Kenak, maut di lokasi nahas manakala isterinya, Nik Malini Nik Omar, 31, pula meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Jabi.

Ketua Polis Daerah Besut, Mohd Zamri Mohd Rowi, berkata, nahas dipercayai berlaku apabila motosikal Honda EX5 dinaiki tiga beranak itu dirempuh sebuah kereta dari arah bertentang­an.

Katanya, kemalangan berlaku ketika mangsa dari arah Kampung Tembila menghala ke Kampung Renek. “Setibanya di jalan Kampung Tempinis, sebuah kereta dipercayai hilang kawalan lalu terbabas serta memasuki laluan motosikal.

“Akibat perlanggar­an itu, pasangan suami isteri terbabit maut akibat cedera parah. Anak lelaki mereka, Mohd Haziq Daniel Mat Halimi yang juga murid tahun dua di Sekolah Kebangsaan (SK) Tempinis dirawat di Hospital Besut.

“Pemandu Proton Saga Aeroback berusia 49 tahun dari Kampung Lay Out Hilir, Kg Jabi dan bekerja sendiri pula cedera di bahagian kepala serta dirujuk ke Hospital Besut,” katanya semalam.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayak­an sehingga menyebabka­n kematian.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia