Harian Metro

Cabaran Ramadan kala panas

-

Ramadan untuk wilayah selatan Guangdong tahun ini jatuh pada permulaan musim panas. Purata suhu tempatan beralih secara radikal, dengan suhu terendah pada aras 23 darjah Celsius dan tertinggi dicatatkan pada tahap 33 darjah Celsius.

Perubahan suhu ekstrem ini menghasilk­an habitat semula jadi terbaik untuk virus penyakit berjangkit seperti demam dan batuk berpanjang­an, kegatalan kulit badan dan wabak SARS.

Cabaran Ramadan tahun ini bercampur dengan kekurangan air dalam badan, terhasil daripada pergerakan suhu turun naik yang berlaku secara tiba-tiba bercampur pula dengan ingatan kerinduan terhadap bazar Ramadan dan panggilan azan ke solat Tarawih, menjadikan bulan puasa sebagai bulan yang penuh nostalgia.

Baiknya di sini ialah, masyarakat Muslim kreatif di dalam menghasilk­an nostalgia masing-masing mengikut latar belakang negara dan budaya mereka.

Nostalgia bagi kelompok terbesar Muslim di Hong Kong iaitu masyarakat Indonesia dijelmakan di dalam bentuk perkumpula­n beramai-ramai mereka di masjid dan surau utama di Hong Kong bagi menunaikan solat Tarawih setiap Ahad.

Jangan salah anggap tentang beribadat pada setiap Ahad.

Di Hong Kong, pada setiap Ahad, pembantu rumah dibenarkan bercuti dan keluar untuk berehat dan disyaratka­n untuk pulang sebelum jam 11 malam.

Jadi, setiap Ahad terdapat limpahan jemaah Muslimat yang terkeluar melimpah ke siar kaki di masjid utama seperti Masjid Kowloon dan Pusat Islam Wan Chai.

Pada hari lain, jemaah juga adalah ramai dengan kebanyakan mereka berketurun­an Asia Selatan dan Arab-Afrika.

Pejabat Kedutaan dan Konsulat Jeneral besar negara Islam juga mengadakan solat Tarawih pada waktu tertentu yang dikhaskan.

Konsulat Besar Malaysia mengadakan solat Tarawih mingguan dihadiri masyarakat Muslim Malaysia yang bekerja dan belajar di Hong Kong bersama-sama keluarga masing-masing.

Ia meriah kerana dapat mengumpulk­an sahabat handai dan kumpulan pengembara di Hong Kong di bawah satu bumbung.

Kami dapat bergelak ketawa dan mengubat kerinduan terhadap kampung halaman.

Sesi solat Tarawih di Hong Kong juga menonjolka­n ciri-ciri keharmonia­n dan kesepaduan bangsa apabila sesi kenduri dan makan selepas solat dihadiri rakan bukan Islam yang juga merindui suasana Ramadan di Malaysia.

Malah, sesi berbuka puasa juga penuh dihadiri semua kaum berbagai agama.

Jelas, apabila kita di luar negara, semangat kebangsaan Malaysia itu semakin mengukuh dan menebal.

Waktu imsak pada jam 4 pagi dan berbuka pada jam 7 malam.

Solat Tarawih bermula jam 9 malam berlangsun­g di dua masjid besar dan berbelas lagi pusat Islam kecil terletak di celah lorong dan bangunan.

Masjid Kowloon boleh memuatkan 2,500 jemaah pada satu-satu masa. Pusat Islam Wan Chai kira-kira 1,500. Manakala pusat yang lebih kecil seperti di Mid-Level, Aberdeen, Stanley, Chai Wan dan Tuen Mun boleh memuatkan 100 orang sekurang-kurangnya.

Jun yang panas ini juga diselang-selikan dengan hujan lebat selama sekurang-kurangnya 18 hari.

Kehadiran hujan lebat ini memang sukar dijangka. Ia berlaku di bandar besar

Guangdong seperti Hong Kong, Macao, Shenzhen dan Guangzhou.

Anda bayangkan anda sedang berjalan kaki menyeberan­gi jalan raya di dalam panas terik. Secara tiba-tiba tanpa guruh dan petir apatah lagi amaran turun hujan selebat-lebatnya, membasahi jalan raya dan sekali-sekala menjadi banjir kilat.

Dalam tempoh masa 5 minit, hujan ini akan berhenti dan langit kembali cerah. Dan manusia juga akan kembali semula bersimpang siur sibuk dengan aktiviti masing-masing.

Kita pula? Dah lah tiba-tiba baju basah, masih lagi termangu dan bingung memikirkan apakah yang berlaku tadi. Ini berlaku pada saya, waktu pertama kali menjejakka­n kaki ke Hong Kong.

Biasalah, sudah perangai orang Malaysia yang lambat bertindak dan selalu acuh tidak acuh.

Saya terasa rintik-rintik hujan sewaktu menunggu giliran menyeberan­gi lintasan pejalan kaki. Saya lihat orang Hong Kong lain mula berkalih, beredar ke bawah siar kaki bangunan.

Dalam hati saya, “Apalah kamu semua ni. Pengecut betul–baru hujan rintik-rintik macam ni sudah lari. Ini Hero Malaya sudah datang. Setakat gerimis macam ni kacang saja. Alangkan Harimau pun kami makan.”

Apabila lampu pejalan kaki bertukar hijau saya pun melangkah ke tengah jalan raya dan selalunya lampu akan bertukar merah apabila kita berada di pembahagi jalan sebelum melangkah ke seberang sana.

Pembahagi jalan memang direka bentuk untuk membolehka­n 50 orang berdiri menunggu giliran ke seberang. Saya lihat Cuma ada saya, Hero Malaya ini dengan 4 orang lain. Saya masih berlagak dengan dunia sendiri.

Tiba-tiba, gerimis kecil tadi bertukar menjadi hujan yang amat lah lebat.

Dan tiba-tiba empat orang tadi mengeluark­an payung kecil dari beg mereka. Dan tiba-tiba juga, kereta, lori dan bas dari dua-dua arah jadi banyak pula kerana mungkin sistem penyuraian trafik menjadikan kenderaan yang tersangkut di kedua-dua hala untuk beredar dari kawasan pasar tadi.

Berdirilah saya di tengah-tengah jalan, Johston Road namanya. Menyeberan­gi daerah Wan Chai utara ke selatan Prince Edward Road West. Berdiri dalam hujan, basah kuyup – muka konfiden tapi kelat-kelat sikit.

Muka macam ni biasa kat Hong Kong, golongan yang ponteng puasa cuma kami tiada geng plastik hitamlah. Kalau terkantoi ayat popular mereka ialah, “Eh bukan...saya orang Filipina Pak – magandang umaga. sana ay mabuti ka. Salaaaaaam­atttt.”

Penulis Pengurusan Kanan CMC Engineerin­g di Hong Kong

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia