Harian Metro

Ahmad Razif sedia lepas jawatan Presiden PBSNT

- Malik Muhamad sukanteam@nstp.com.my

Kuala Terengganu: Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman sedia melepaskan jawatan itu bagi memberi laluan kepada kerajaan baharu pimpinan parti PAS untuk menerajui badan induk bola sepak negeri itu.

Mantan Menteri Besar Terengganu itu berkata, jawatan nombor satu dalam PBSNT itu akan diserahkan dalam masa terdekat kepada kepimpinan baharu bagi memastikan sukan bola sepak negeri terus berdaya saing.

“Saya sekarang sudah menawarkan jawatan itu kepada kepimpinan sekarang ini kerana sudah pasti persatuan ini berkait rapat dengan kerajaan negeri.

“Jadi insya-Allah pada bulan depan kita akan adakan AGM (mesyuarat agung tahunan) bagi peralihan jawatan bermula daripada presiden dan timbalan presiden kepada kepimpinan yang

(gambar)

baharu,” kata Ahmad Razif ketika ditemui dalam majlis berbuka puasa Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT) di Kuala Terengganu kelmarin.

Sebelum ini Ahmad Razif yang melakukan penjenamaa­n semula pasukan bola sepak negeri bersama jawatankua­sanya belum membuat keputusan sama ada beliau akan terus menerajui badan induk bola sepak negeri itu ataupun menyerahka­n jawatan itu kepada pengurusan baharu selepas berlaku peralihan kuasa di negeri itu.

Pada Disember 2016, Ahmad Razif yang ketika itu menjawat jawatan Menteri Besar Terengganu menang tanpa bertanding jawatan presiden dalam kongres luar biasa PBSNT bagi penggal 2017 hingga 2020 menggantik­an bekas presiden terdahulu, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid yang melepaskan jawatan itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia