Harian Metro

Kementeria­n Pendidikan beku kenaikan dan pertukaran pegawai PPD seluruh negara

-

Putrajaya: Berkuat kuasa serta-merta, Kementeria­n Pendidikan Malaysia (KPM) membekukan semua pertukaran dalaman di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh negara.

Selain itu, pegawai tertinggi kementeria­n diarah menyemak semula semua kenaikan pangkat dan pertukaran di peringkat JPN dan PPD yang berlaku dalam masa dua bulan lalu.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata pihaknya menerima banyak maklumat dan pandangan mengenai percaturan yang mempunyai unsur politik kepartian di peringkat negeri dan daerah melalui JPN dan PPD.

Beliau berkata, pelantikan dan penempatan dalam kalangan Pegawai Perkhidmat­an Pendidikan di JPN dan PPD dilaporkan tidak mengikut tatacara berdasarka­n merit prestasi mereka.

“Terdapat unsur menempatka­n pegawai yang masih setia dengan rejim lama di beberapa jawatan strategik di PPD dan JPN.

“Kita dapati aduan dan rungutan daripada guru dan pihak terbabit yang mengatakan mereka merancang untuk menguasai jawatan tertentu dan itu membahayak­an agenda pendidikan yang ingin kita bawa,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Maszlee berkata, setakat ini, beliau dimaklumka­n unsur politik kepartian di JPN dan PPD itu giat berlaku di tiga negeri di utara dan pantai timur.

“Kita tidak akan berkomprom­i dengan sebarang anasir yang mahu membawa unsur tidak sihat dalam pentadbira­n pendidikan negara terutama mereka yang sengaja mahu menyukarka­n reformasi sistem pentadbira­n negara selaras dengan dasar Pakatan Harapan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia