Harian Metro

Pecah monopoli wanita jual kuih raya

-

Kota Bharu: Menjual atau membuat biskut raya biasanya dilakukan oleh golongan wanita namun dua beradik lelaki membuktika­n mereka mampu menceburi dan berjaya dalam bidang itu.

Mohd Zaid Mohd, 27, dan adiknya Mohd Huzaifah, 25, menceburi perniagaan keluarga itu sejak lebih 10 tahun lalu selepas mendapat sokongan daripada ayah mereka Mohd Setapa, 54.

Mohd Zaid berkata, beliau dan adiknya meminati perniagaan itu walaupun terdapat empat lagi adik beradik perempuan dalam keluarga mereka.

“Sejak kami remaja lagi, hampir setiap hari kami berdua mengikuti ayah ke kedai biskut kami berhampira­n rumah mereka di Jalan Bayam di sini.

“Daripada situ, minat kami dalam bidang itu bermula dan setiap kali cuti sekolah, kami akan menemani bapa ke kedai dan membantu beliau menjual biskut,” kata pemuda berusia 27 tahun yang juga anak kedua daripada 11 beradik.

Ketika ditemui di kedai mereka di Batu 2 di sini, Mohd Zaid berkata mereka menjual lebih daripada 30 jenis biskut raya termasuk di dua lagi cawangan masing-masing di Cherang dan Tapang.

“Biskut yang dijual berlainan daripada yang lain kerana biskut kami adalah jenis buatan rumah yang asli dan dibuat oleh 10 pekerja di rumah kami sendiri di Jalan Bayam.

“Harga biskut raya juga berpatutan dan pelanggan kami kebanyakan daripada golongan sederhana. Kami hanya beroperasi dua kali dalam setahun,” katanya.

Mohd Huzaifah berkata, kedai mereka akan membuat lelongan beberapa hari sebelum Aidilfitri.

“Pelanggan tetap kami biasanya akan tahu bila kami akan buat lelongan dan mereka akan berebut-rebut datang kerana tahu harga biskut raya akan jauh lebih murah daripada kedai lain,” katanya.

 ??  ?? MOHD Zaid (kanan) dan Mohd Huzaifah melayan pelanggan yang hadir ke gerai mereka.
MOHD Zaid (kanan) dan Mohd Huzaifah melayan pelanggan yang hadir ke gerai mereka.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia