Harian Metro

Penjelasan Sime Darby, SP Setia

-

Kuala Lumpur: Pengambila­lihan Battersea Power Station (BPS) oleh Sime Darby Property Bhd, SP Setia Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilaksanak­an menerusi proses persaingan tender pada September 2012.

Dalam satu kenyataan, SP Setia dan Sime Darby Property berkata, dari perspektif kedua-dua syarikat sebagai pemaju hartanah, urus niaga itu membolehka­n mereka untuk terus memperuntu­kkan semula modal ke pembanguna­n perniagaan yang lain.

Justeru, Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan KWSP melihat langkah itu sebagai peluang strategik memiliki aset hartanah ikonik dan unik dan ia membolehka­n mereka meraih aliran pendapatan yang mapan pada masa akan datang bagi memenuhi keperluan pendapatan masing-masing.

“Urus niaga itu dijangka menjana pendapatan jangka panjang kepada pelabur. Seperti yang diumumkan pada 15 Mei 2018, tempoh eksklusif untuk urus niaga itu dilanjutka­n ke 29 Jun 2018,” katanya dalam satu kenyataan bersama di Kuala Lumpur, semalam.

Kelmarin, kedua-dua syarikat pemaju hartanah terbabit mendapat perhatian apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan dalam satu temu bual bersama The Guardian bahawa perjanjian BPS serta beberapa urus niaga diragui yang dibayar oleh dana negara akan dikaji semula dan sekiranya terdapat salah laku.

Pada temu bual itu, Anwar berkata, keputusan membeli aset-aset United Kingdom (UK) seharusnya menjadi satu pelaburan yang tepat dan tidak mempunyai pengaruh politik.

BPS dianggap sebagai perjanjian urus niaga hartanah terbesar di UK dengan harga 1.6 bilion pound (RM8.55 bilion) yang bakal memperliha­tkan pindahan pemilikan BPS, tetapi tidak termasuk tapak seluas 16.99 hektar di keliling bangunan berkenaan.

Urus niaga itu mengatasi 1.28 bilion pound (RM6.84 bilion) dibayar pelabur China untuk bangunan Walkie Talkie itu di London tahun lalu.

Semalam, saham SP Setia susut 25 sen atau 7.81 peratus kepada RM2.95 manakala Sime Darby Property merosot lapan sen atau 6.2 peratus kepada RM1.21.

Kedua-dua syarikat itu memberi jaminan kepada semua pihak bahawa keputusan untuk meneroka potensi untuk penyusunan semula pemilikan adalah pertimbang­an pelaburan yang dimulakan Ahli Lembaga dan pengurusan BPS, bersama KWSP dan PNB.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia