StanChart tingkat perbankan digital 65%
Kuala Lumpur: Standard Chartered Bank Malaysia Bhd (StanChart) menyasarkan meningkatkan pertumbuhan kadar penggunaan perbankan digitalnya kepada 65 peratus daripada jumlah pelanggannya menjelang 2022.
Ketua Negara Perbankan Runcit, Aaron Loo berkata, kadar penggunaan digital, platform perbankan dalam talian dan mudah alih StanChart meningkat secara konsisten sejak beberapa tahun dengan sebahagian pelanggannya melaksanakan transaksi perbankan biasa secara dalam talian.
“Teknologi adalah intipati strategi StanChart, memacu kecekapan, meningkatkan automasi, mengurangkan kesilapan manual dan mengukuhkan bagaimana untuk memerangi jenayah kewangan.
“Ini dipacu melalui keinginan untuk memberikan perkhidmatan kepada pelanggan dengan lebih berkesan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Loo berkata, peratusan pelanggan yang aktif secara digital, yang ditakrifkan sebagai mereka yang menggunakan perbankan digital sekurang-kurangnya sekali setiap dua minggu dan membuat pembelian secara e-dagang dalam masa enam bulan, meningkat secara ketara sejak 2014.
“Pelanggan yang aktif secara digital meningkat di negara-negara Asia yang baru muncul (kepada 25 peratus daripada jumlah populasi) dan meningkat 1.2 kali di negara-negara Asia yang membangun (kepada 85 peratus daripada jumlah populasi),” katanya.
Pada 2015, StanChart mengumumkan, ia akan membuat pelaburan kira-kira AS$3 bilion (RM12 bilion) dalam masa tiga tahun untuk teknologi dan sistem di seluruh kumpulannya.