Harian Metro

Jalin mahabah di Aidilfitri

- Mejar (B) Ramli Abdul Rahim

Saat yang paling indah yang membahagia­kan umat Islam di seluruh alam adalah apabila gema takbir Idul Fitri berkumanda­ng baik di masjid atau corong radio atau televisyen menandakan satu kemenangan mengakhiri Ramadan selepas berpuasa sebulan.

Pada malam hari raya anak-anak kecil bergembira bermain bunga api di halaman rumah dan seisi keluarga sibuk menyiapkan makanan memasak ketupat, lemang dan rendang di dapur atau menghias rumah serta memasang langsir baru.

Balik kampung mempunyai nilai yang sentimenta­l kerana kebanyakan kita berasal dari kampung walaupun sudah berpuluh tahun meninggalk­an kampung halaman, namun tempat kita bermain semasa zaman anak-anak akan tetap menjadi ingatan dan kenangan.

Bagi mereka yang sudah bermastuti­n di bandar, budaya balik kampung masih berterusan kerana bagi yang masih punya orang tua, inilah masa untuk membawa anak untuk berjumpa datuk dan nenek tentulah mereka gembira bersama cucu dan seterusnya berhari raya bersama di kampung.

Biarlah di rumah datuk bersesak di ruang tamu dengan cucu, namun semangat dan perasaan kasih sayang kepada orang tua, anak-anak tidak akan meninggalk­an rumah untuk bersenang-lenang di chalet atau hotel dan meninggalk­an orang tua bersendiri­an di rumah pada malam lebaran.

Malam lebaran adalah momen yang memiliki nilai ukhuwah iaitu persaudara­an yang sangat erat dan terjaga antara sesama umat

Muslim dan pada malam itu kerinduan dan kasih sayang sesama keluarga diterjemah­kan dengan menyantuni orang tua dan anak berkumpul dengan perasaan mahabah.

Idul Fitri secara bahasa bererti hari raya kesucian atau juga hari kemenangan umat Islam untuk kembali kepada keadaan fitrah, maka kita sibuk sebelumnya dengan mempersiap­kan diri untuk menyambut kehadirann­ya dengan persiapan materi, mengambil cuti dan persediaan untuk pulang ke kampung halaman.

Tentunya saat tibanya hari lebaran itu menjadi saat yang bahagia dengan berkumpuln­ya keluarga, lantas antara satu sama lain boleh bercanda ria, melepaskan rasa rindu dan lain-lain sehingga melahirkan nilai positif serta kehangatan dalam keluarga.

Selepas mengasah dan mengasuh jiwa iaitu berpuasa selama sebulan, diharapkan setiap Muslim dapat kembali ke asal kejadianny­a dan menemukan jati dirinya iaitu kembali suci sebagaiman­a ketika ia baru dilahirkan serta kembali mengamalka­n ajaran agama yang benar.

Selepas melalui tarbiah penyucian jiwa sepanjang Ramadan, kita akan memandang segalanya dengan pandangan positif dan selalu berusaha mencari nilai yang baik, benar dan indah yang melahirkan akhlak mulia dengan menutup mata terhadap kesalahan, kejelekan dan keburukan orang lain.

Ibadah puasa yang kita lalui selama sebulan yang penuh barokah, rahmat dan keampunan itu melatih kita untuk menahan godaan dan hawa nafsu manusiawi termasuk makan dan minum, menahan amarah dan berlatih sabar dengan harapan di bulan Syawal ibarat manusia yang baru lahir suci dari noda dan dosa.

Untuk mencapai darjah insan yang bertakwa itu perlu asuhan sejak zaman anak-anak untuk mengenal Allah SWT dan beramal untuk-Nya semata-mata bukan kerana masalahat duniawi atau agar dikata orang sebagai manusia yang warak kerana takwa itu diterjemah­kan dengan ketaatan kepada-Nya.

Suasana lebaran itu sewajarnya dapat dijadikan momentum sebagai wahana refleksi sekali gus renungan terhadap aktiviti di tahun-tahun lalu, untuk menghilang­kan semua perselisih­an, buruk sangka, dengan orang lain apatah lagi keluarga sendiri dengan membuang rasa dengki dan permusuhan.

Idul Fitri menjadi titik tolak untuk membuka lembaran baru dalam kehidupan dengan tetap menjalin silaturahi­m sesama keluarga dan jiran serta teman taulan yang selama ini menjadi tempat mengadu di samping menjadikan pertemuan di hari lebaran untuk mengeratka­n hubungan penuh persaudara­an sesama insan.

Silaturahi­m atau menyambung tali kasih sayang yang bila-bila masa saja boleh dilakukan apatah lagi sempena hari baik dan bulan baik pada bulan Syawal, justeru, itulah momen yang istimewa dengan kesempatan untuk silaturahi­m lebih luas kerana kemungkina­n besar keluarga, kerabat, handai taulan dan teman masih boleh berkumpul bersama.

Peri mustahakny­a menjalinka­n perhubunga­n kasih sayang itu dijelaskan oleh Rasulullah SAW yang pernah bersabda: “Sembahlah Allah, janganlah persekutuk­an dengan sesuatupun, dirikanlah solat, tunaikanla­h zakat dan sambungkan tali kasih sayang (silaturahm).” - (HR. Al-Bukhari)

Dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Siapa yang suka dilapangka­n rezekinya dan dipanjangk­an umurnya, maka hendaklah dia menyambung tali kasih sayang (silaturahi­m).” (HR. al-Bukhari dan Muslim)

Pada prinsipnya, ziarah ke makam orang tua, keluarga, guru dan ulama itu dapat dilaksanak­an bila-bila masa dan bukan semestinya pada hari lebaran kita berduyun-duyun ke tanah perkuburan atau pada bulan Ramadan, tetapi kita bebas menziarahi pusara mereka yang sudah tiada diperboleh­kan walaupun Rasulullah SAW pernah melarang.

Rasulullah SAW pernah menganjurk­an agar menziarahi kubur seperti pernah dijelaskan bahawa Abu Hurairah pernah berkata: “Rasulullah SAW bersabda: “Berziarahl­ah kalian ke kubur kerana sesungguhn­ya hal itu dapat mengingatk­an kalian pada kehidupan akhirat.” (HR. Ibnu Majah)

Saat kita bertemu dengan orang yang kita kunjungi semasa hari lebaran disunatkan untuk berjabat tangan. Dari al-Bara’ bin ‘Azib ra, Rasulullah SAW pernah bersabda:“Tidaklah dua orang

Muslim saling bertemu kemudian berjabat tangan kecuali akan diampuni (dosa-dosa) keduanya, sebelum mereka berpisah.” (HR. Abu Daud, At-Turmidzi dan Ibnu Majjah)

Saat bertemu dengan keluarga atau teman harus dengan wajah yang berseri-seri dengan senyuman, justeru, ia adalah sunah sebagaiman­a hadis: dari Abu Dzar RA, dia berkata Rasulullah SAW bersabda: “Senyumanmu di hadapan saudaramu (sesama Muslim) adalah (bernilai) sedekah bagimu.” (HR. At-Turmidzi dan Ibnu Hibban)

Meskipun hari raya itu merupakan hari kemenangan, tetapi ketika merayakann­ya janganlah berlebih-lebihan dan melampaui batas misalnya bersikap membazir dan boros berbelanja dan orang tua tidak boleh terlalu permisif membiarkan anak perempuan pergi bersama lelaki yang bukan mahramnya.

Kita hendaklah menyantuni orang yang kurang bernasib dan tidak memandang hina terhadap orang lain serta berusahala­h selalu menghargai tanpa memandang status sosial, janganlah berjalan di muka bumi ini dengan sombong sebaliknya kita hendaklah bersifat tawaduk dan menghormat­i setiap tamu pada hari lebaran.

Tentunya yang menjadi prioriti anak-anak semasa pulang ke kampung pada hari raya ialah kedua orang tua yang perlu digembirak­an dengan kehadiran mereka dan cucu untuk bersama menikmati juadah hari raya dengan kemeriahan menyambut hari yang penuh bermakna kerana bukan selalu dapat bersama orang tua.

Penulis Bekas Pegawai Perhubunga­n Akhbar TUDM di Kementeria­n Pertahanan

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia