Harian Metro

DILEMA BALIK RAYA

Berbincang antara suami isteri tentu giliran pulang beraya adalah langkah terbaik

- Siti Nadirah Hafidzin siti_nadirah@hmetro.com.my

Walaupun sudah berkeluarg­a, setiap individu tetap mengharapk­an dapat bersama-sama ibu bapa dan adik-beradik tersayang di kampung halaman sendiri meraikan 1 Syawal.

Kemeriahan dan suasana Aidilfitri yang diraikan ternyata berbeza apabila diri berada di desa bersama keluarga. Mungkin tidak semua, namun pasti ada antara suami isteri yang mengalami dilema setiap kali menjelang lebaran.

Dilema dalam menentukan giliran beraya, sama ada di kampung halaman sendiri atau di kampung kelahiran pasangan. Walaupun ini bukan satu isu besar namun hakikatnya dilema ini menyelubun­gi perasaan pasangan suami isteri hampir setiap tahun.

Mungkin ada yang bersikap mendiamkan diri dan hanya mengikut kehendak pasangan namun kesedihan serta rasa tidak puas hati tetap dirasai di dalam hati.

Langkah terbaik adalah dengan melakukan perbincang­an sebelum tiba musim perayaan, supaya tidak timbul sebarang masalah apatah lagi menjelang Aidilfitri yang perlu disambut dalam keadaan penuh kegembiraa­n.

Berkongsi pandangan dalam isu ini, Nur Masyitah Hassanuddi­n berkata, dia dan suami, Hafidz Azali Mohd Noor sering berbincang sebelum tiba musim perayaan bagi menentukan giliran berhari raya.

“Bukan saja berbincang dengan suami, tetapi saya juga berbincang dengan adik-beradik bagi memastikan kami berada di desa pada masa sama.

“Syukur, selepas 12 tahun usia perkahwina­n, saya dan suami tidak mengalami sebarang masalah atau berkecil hati mengenai giliran berhari raya. Kebiasaann­ya jika tahun ini di rumah mentua, tahun depan pula di rumah ibu bapa saya bagi memberikan keadilan untuk kedua-dua pihak,” katanya.

Menurut Nur Masyitah, untuk tahun ini dia sekeluarga berhari raya di kediaman mentuanya di Gua Musang, Kelantan.

“Tahun ini tiba giliran di rumah mentua dan kami akan bertolak ke rumah ibu bapa saya pada hari raya kedua. Begitu juga sebaliknya.

“Anak-anak juga sudah faham dengan giliran ini. Syukur semuanya dipermudah­kan kerana bagi saya perbincang­an itu amat diperlukan bagi mengelak sebarang pergaduhan atau terasa hati,” katanya.

Tambahnya, dia juga bersyukur kerana ibu bapanya juga ibu bapa mentua tidak mempersoal­kan mengenai giliran itu.

Sementara itu, bagi pengusaha spa, Ruzita Jamaludin, disebabkan ibu bapanya sudah meninggal dunia, dia akan berhari raya di rumah mentua setiap tahun.

“Jika dulu ketika mak dan ayah ada lagi, saya dan suami akan bergilir, tetapi kini kami pulang berhari raya di rumah mentua di Pahang.

“Kemeriahan tetap dirasai apabila beraya di rumah mentua apatah lagi apabila berada di sisi suami dan anak-anak,” katanya.

Menurutnya, dia sekeluarga akan pulang ke kampung halamannya di Negeri Sembilan pada hari raya kedua untuk menziarahi pusara ibu bapanya.

“Pastinya ada sedikit kekurangan menyambut lebaran apabila ibu bapa kita sudah tiada namun hidup perlu diteruskan dan saya masih ada keluarga mentua untuk menumpang kasih.

“Dari segi giliran, semua itu tidak menjadi masalah asalkan pasangan suami isteri itu mahu berbincang serta bertolak ansur,” katanya.

 ??  ??
 ??  ?? NUR Masyitah dan keluarga ketika menyambut
lebaran.
NUR Masyitah dan keluarga ketika menyambut lebaran.
 ??  ?? RUZITA dan keluarga.
RUZITA dan keluarga.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia