Harian Metro

Rambo disiasat

 Didakwa lakukan serangan seksual terhadap seorang wanita

- AFP Los Angeles

Pendakwa Amerika Syarikat (AS) melancarka­n siasatan ke atas bintang filem Sylvester Stallone untuk melihat sama ada beliau perlu didakwa susulan kaitan dalam serangan seksual yang dilaporkan tahun lalu.

Jurucakap pejabat Peguam Daerah Los Angeles, Greg Risling berkata, kes berhubung Sylvester Stallone itu dibentangk­an oleh Jabatan Polis Santa Monica semalam.

“Ia kini diteliti oleh pasukan jenayah seks kami,” katanya.

Kes berkenaan membabitka­n laporan seorang wanita pada November tahun lalu bahawa aktor berusia 71 tahun itu yang terkenal menerusi watak dalam filem seperti Rocky dan Rambo melakukan serangan seksual ke atasnya sekitar tahun 1990.

Ristling bagaimanap­un, enggan mendedahka­n maklumat lanjut mengenai serangan berkenaan atau mengulas jika tempoh limitasi selama 10 tahun dalam sistem perundanga­n California boleh diguna pakai untuk kes itu.

Jabatan Polis Santa Monica dan peguam Stallone, Martin Singer turut gagal dihubungi untuk mendapatka­n maklum balas.

Pertuduhan ke atas aktor terkenal berkenaan timbul semula serentak dengan kebangkita­n kempen #MeToo yang memfokus kepada serangan seksual di Hollywood serta lokasi lain di AS.

Singer pada Disember lalu ketika dakwaan itu kali pertama muncul berkata, Stallone menolak tuduhan berkenaan dan menuduh wanita itu memfailkan laporan semata-mata mahu media menyiarkan ceritanya.

Namun, dia mengakui Stallone pernah menjalinka­n hubungan dengan wanita itu ketika sesi penggambar­an sebuah filem di Israel pada 1987 ketika aktor itu masih bujang.

Tambah Singer, Stallone juga ketika itu merancang untuk memfailkan tuduhan terhadap wanita berkenaan kerana membuat laporan polis palsu.

Kempen #MeToo bermula pada tahun lalu susulan dakwaan serangan seksual terhadap penerbit filem terkenal Hollywood, Harvey Weinstein.

 ??  ?? SYLVESTER Stallone
SYLVESTER Stallone

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia