Harian Metro

Hierro sambung kerja Lopetegui

-

Moscow: Jurulatih baru Sepanyol, Fernando Hierro merancang untuk meneruskan persiapan sudah diatur Julen Lopetegui bagi menghadapi Portugal dalam aksi pembukaan Piala Dunia awal pagi esok.

Lopetegui memiliki rekod 20 perlawanan tanpa kalah sebagai jurulatih dengan melakar 14 kemenangan dan enam seri, namun dipecat selepas diumumkan sebagai jurulatih Real Madrid, Selasa lalu.

“Hanya perubahan kecil boleh dilakukan,” kata Hierro dalam sidang media kelmarin.

“Anda tidak boleh melakukan perubahan latihan dalam masa dua hari dan sebahagian besar pegawai teknikal pasukan juga masih bersama kami. Kami sudah menyaksika­n video bagi perlawanan selepas ini dan kami perlu menggunaka­n kebijaksan­aan kami. Malah, sukar untuk membuat perubahan dalam tempoh masa agak singkat sebelum bertemu Portugal.

“Saya mengikuti semua sesi latihan sebelum ini dan dengan apa yang kami lalui memang saya tak boleh membuat perubahan dalam masa dua hari.”

Presiden Persekutua­n Bolasepak Sepanyol, Luis Rubiales membuat ‘kerja gila’ apabila memecat Lopetegui semalam (kelmarin) - dua hari sebelum La Roja menentang Portugal atas kesalahan bersetuju menjadi jurulatih baharu Real tanpa pengetahua­n mereka.

Hierro, bekas kapten Real Madrid, enggan mengkritik tindakan kelab lamanya itu dan mengakui peluang untuk mengendali­kan skuad kebangsaan adalah sukar untuk dilepaskan.

“Ia cabaran yang baik. Saya tahu apa yang perlu dilakukan dan kerja yang dilakukan oleh Julen sebelum ini cukup hebat. Saya ucapkan semoga berjaya kepadanya,” katanya.

“Saya perlu membuat keputusan dengan cepat kerana saya perlu menerima atau terus meninggalk­an pasukan ini, tetapi ternyata saya tidak boleh menyatakan tidak. Saya pasti tidak dapat memaafkan diri sendiri nanti.”

Pengendali berusia 50 tahun itu hanya memiliki pengalaman melatih kelab divisyen dua, Oviedo namun percaya semua pemain sudah bersedia untuk melupakan segala kekalutan yang melanda untuk memberi fokus menjuarai

Piala Dunia kedua, bermula dengan aksi menentang juara Eropah, Portugal di Sochi.

“Mereka pemain profesiona­l yang cukup matang dan bertanggun­gjawab. Jika saya tidak yakin kami tidak boleh mencapai sesuatu dalam kejohanan ini, saya tidak akan berada di sini,” kata Hierro.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia