Harian Metro

RUSSIA PENTAS TERAKHIR RONALDO?

- AFP

 Bintang Portugal perlu realisasi impian julang trofi Piala Dunia

Sochi, Russia

Cristiano Ronaldo akan memulakan usaha baru atau langkah terakhir untuk mendapatka­n pingat Piala Dunia apabila juara Eropah, Portugal akan berdepan jiran, Sepanyol pada perlawanan pembukaan Piala Dunia, di sini, awal pagi esok. Pemain berusia 33 tahun itu akan berdepan enam rakan sepasukan Real Madrid ketika Sepanyol berusaha mengurangk­an tekanan kejutan pemecatan jurulatih, Julen Lopetegui berikutan pengumuman dia akan mengambil alih tugasan di Bernabeu bulan depan.

Ronaldo kini fokus kepada Piala Dunia, kejuaraan utama tunggal yang masih belum dimilikiny­a.

Amat sukar menjadikan Portugal sebagai sebuah pasukan pilihan memenangi trofi itu walaupun dengan kehadiran Ronaldo, namun mereka berada di Russia sebagai juara Eropah selepas mengejutka­n Perancis di laman sendiri dua tahun lalu.

Ronaldo kini berusia 33 tahun, masih berada dalam keadaan fizikal menakjubka­n dan pemenang Ballon d’Or.

Dia mungkin boleh bermain selama mungkin, tetapi amat sukar membayangk­an dia akan kembali ke Piala Dunia di Qatar pada 2022.

Jika dia mahukan pingat kemenangan Piala Dunia, ini adalah masa yang sesuai, dan tiada lebih baik selain memulakann­ya dengan membawa inspirasi kejayaan Portugal mengatasi jiran mereka dan meletakkan pasukan di tempat terbaik Kumpulan B.

“Sudah pasti Cristiano Ronaldo ialah pemain terbaik dunia pada ketika ini dan dia akan menjadi pemain terbaik pada Piala Dunia ini. Tiada perkataan yang boleh menggambar­kannya,” kata rakan sepasukan, Joao Mario di pangkalan Portugal dekat Moscow minggu ini. Ronaldo turut bermain pada kali terakhir Portugal menewaskan pencabar utama itu dalam kejohanan major, menang 1-0 dan menyingkir­kan Sepanyol pada peringkat kumpulan Euro 2004.

Dia ketika itu berusia 19 tahun dan kini menjadi penjaring terbanyak negara itu dengan 81 gol antarabang­sa.

Dia baru saja memperoleh kaps ke-150 ketika saingan persahabat­an menentang Algeria, namun masih gagal mengulangi prestasi hebatnya di kelab kepada kejohanan utama.

Dia hanya bertahan 25 minit sebelum cedera pada final Euro 2016 dan melihat dari tepi padang gol masa tambahan Eder yang mengejutka­n Perancis.

Pada Piala Dunia, setakat ini Ronaldo hanya menjaringk­an tiga gol dalam tiga kejohanan: penalti berdepan Iran pada 2006; satu gol bertemu Korea Utara pada 2010, dan satu lagi ketika berdepan Ghana pada 2014.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia