Harian Metro

BIDIK CICAK TERTEMBAK IBU

- Ramli Ibrahim cnews@nstp.com.my

Wanita patah bahu kanan terkena bidikan anak guna pistol bapa Anak kedua daripada enam beradik itu dipercayai secara tidak sengaja tertekan picu pistol itu dan terkena bahagian belakang ibunya yang berada di dapur”

Mohd Taufik Maidin

Seorang wanita patah bahu kanan selepas terkena tembakan dilepaskan anak menggunaka­n pistol bapanya yang juga anggota polis di kuarters Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10.15 pagi, mangsa berusia 48 tahun dikejarkan ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk rawatan lanjut dan dilaporkan stabil.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superinten­dan Mohd Taufik Maidin berkata, suspek berusia 25 tahun dikatakan mengambil pistol yang disangkaka­n pistol mainan untuk menembak cicak di atas almari di dapur.

“Anak kedua daripada enam beradik itu dipercayai secara tidak sengaja tertekan picu pistol itu dan terkena bahagian belakang ibunya yang berada di dapur.

“Mangsa yang mengadu sakit dikejarkan ke HGM oleh suaminya berusia 51 tahun untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, hasil ujian X-ray mendapati peluru terbabit tembus di bahagian belakang badan dan terkena bahu kanan mangsa.

“Mangsa yang mengalami patah tulang bahu dilaporkan stabil. Dia dalam proses untuk dirujuk ke Hospital Kuala Krai untuk rawatan lanjut,” katanya.

Mohd Taufik berkata, sejurus laporan dibuat, suspek ditangkap untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia