Harian Metro

Tertipu tawaran ‘gadis’ RM5,000

-

Kuala Lumpur: Tawar pelacur remaja dalam kalangan ‘budak sekolah’ melalui aplikasi WeChat dengan bayaran RM5,000.

Bagaimanap­un seorang ‘pelanggan’ lelaki berusia 21 tahun yang menaruh minat terhadap pakej ditawarkan itu sebaliknya menjadi mangsa peras ugut sindiket, Rabu lalu.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai How, 21, berkata, dia mulanya menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki tidak dikenali menawarkan perkhidmat­an seks gadis bawah umur.

Dia bagaimanap­un menolak tawaran itu kerana tidak berminat namun suspek terus memujuknya dan perbualan mereka bersambung menerusi aplikasi WeChat sehinggala­h akhirnya dia bersetuju.

“Lelaki itu mendakwa gadis itu amat memerlukan wang untuk membayar yuran sekolah dan memberi jaminan ‘urusan’ kami selamat.

“Dia juga minta saya menghantar gambar kad pengenalan kepadanya untuk membuktika­n saya bukan anggota polis yang menyamar, selain sebagai bukti saya serius dengan ‘urusan’ itu,” katanya pada sidang media oleh Biro Pengaduan dan Perkhidmat­an Awam MCA, di sini, semalam.

Mangsa yang bekerja sebagai operator mesin itu berkata, suspek kemudian memintanya menyediaka­n wang RM300 untuk bayaran khidmat seks dan RM5,000 lagi bayaran dalam bentuk tambah nilai Money Online (MOL) sebagai ‘deposit’ jaminan.

“Saya diberitahu tambah nilai RM5,000 itu akan dipulangka­n semula sebaik ‘urusan’ saya bersama gadis itu selesai. Saya kemudian terus membuat pembelian tambah nilai berkenaan seperti yang diarahkan.

“Selepas itu, suspek menyuruh saya membeli lagi tambah nilai MOL berjumlah RM5,000 namun saya enggan kerana mula berasa curiga dengan niatnya.

“Perkara itu membuatkan suspek berang dan mula mengugut akan mencederak­an saya dan ahli keluarga saya kerana dia mempunyai butir peribadi dan alamat rumah menerusi gambar MyKad yang saya hantar kepadanya sebelum ini,” katanya.

Menurutnya lagi, suspek turut mengugut akan menghantar 20 samseng ke rumahnya menyebabka­n dia membuat laporan polis di Balai Polis Kepong semalam sebelum membuat aduan sama di Biro Pengaduan dan Perkhidmat­an Awam MCA, semalam.

Sementara itu, Pengerusi Biro Pengaduan dan Perkhidmat­an Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, aduan kes seumpama ini kes keempat diterima pihaknya membabitka­n ugutan oleh sindiket menawarkan khidmat seks menerusi media sosial.

Katanya, kebanyakan mangsa malu untuk tampil berkongsi pengalaman mereka secara terbuka namun meminta pihaknya mendedahka­n perkara itu kepada orang ramai sebagai pengajaran.

“Saya nasihatkan orang ramai terutamany­a golongan muda supaya tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran seks menerusi media sosial,” katanya.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia