Harian Metro

9 petisyen cabar BN

- Avila Geraldine avila@nstp.com.my

 WARISAN, PH cabar kemenangan, BN, STAR pada PRU14

Sembilan petisyen pilihan raya difailkan Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan sekutunya, Pakatan Harapan (PH) bagi mencabar kemenangan Barisan Nasional (BN) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Seperti dijangka, WARISAN memfailkan petisyen terhadap lapan kerusi, iaitu masing-masing empat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala satu petisyen difailkan parti gabungan PH iaitu PKR.

Setiausaha Agung WARISAN Loretto S Padua berkata, pihaknya positif dapat mencabar keputusan PRU14 bagi lapan kerusi ditandingi parti itu berdasarka­n keyakinan berlaku amalan politik wang dan penipuan.

Beliau berkata, empat kerusi Parlimen terbabit ialah Kimanis (Datuk Seri Anifah Aman-BN-UMNO), Sipitang (Yamani Hafez Musa-BN-UMNO), Libaran (Datuk Zakaria Mohd Edris-BN-UMNO) dan Keningau (Datuk Dr Jeffrey Kitingan-STAR).

Kerusi DUN pula ialah Sungai Sibuga (Tan Sri Musa Aman-BN-UMNO), Sook (Datuk Ellron Angin-BN-Parti Bersatu Rakyat Sabah), Kundasang (Datuk Joachim Gunsalam-BN-Parti Bersatu Sabah) dan Kiulu (Datuk Joniston Bangkuai-BN-Parti Bersatu Sabah).

“Lapan kerusi ini antara yang kami yakin (dapat memenangi petisyen) berdasarka­n bukti yang ada,” katanya kepada media selepas kumpulan peguam WARISAN memfailkan lapan petisyen pilihan raya di Mahkamah Tinggi di sini, semalam. Kumpulan peguam WARISAN diketuai Datuk Douglas Lind dan Raymond Szetu.

Sementara itu, Ketua Pemuda PKR Sabah Raymond Ahuar memfailkan petisyen pilihan raya bagi mencabar keputusan Parlimen Pensiangan yang dimenangi Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) di bawah tiket BN.

Raymond berkata, pihaknya memfailkan petisyen itu berdasarka­n keyakinan wujud amalan politik wang.

Katanya, pihaknya mempunyai bukti yang menunjukka­n pengundi ditawarkan wang antara RM50 hingga RM1,000.

“Beberapa individu tampil memaklumka­n mengenai perkara itu dan membuat laporan polis. Kami mahu mendidik rakyat khususnya di Pensiangan menerima wang ketika pilihan raya adalah satu kesalahan,” katanya.

Raymond berkata, Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail juga sudah dimaklumka­n mengenai tindakanny­a memfailkan petisyen berkenaan.

Pada PRU14, Raymond kalah di tangan Timbalan Presiden PBRS Arthur Joseph Kurup pada pertanding­an lima penjuru yang menyaksika­n Arthur menang dengan majoriti 2,314 undi.

 ??  ?? LORETTO ketika sidang media di pekarangan mahkamah.
LORETTO ketika sidang media di pekarangan mahkamah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia