Harian Metro

Tetap bertanding walaupun tak layak

-

Kuala Lumpur: Calon Presiden UMNO, Rahmat Azim Abdul Aziz tetap mahu meneruskan hasratnya bertanding bagi merebut jawatan tertinggi itu walaupun jika mengikut syarat, beliau tidak layak.

Ketika dihubungi semalam, Rahmat Azim yang hanya menyandang jawatan ahli UMNO biasa antaranya di bahagian Penampang, Sabah dan Kota Raja, Selangor, mengakui pernah dihubungi ibu pejabat UMNO berhubung statusnya.

Pada minggu lalu, beliau dihubungi seorang pegawai dari ibu pejabat UMNO untuk mengesahka­n beberapa perkara berhubung syarat kelayakan permohonan­nya sebagai calon Presiden UMNO.

“Ibu pejabat (UMNO) hubungi untuk sahkan saya hantar borang pencalonan dan buat semakan sama ada saya pernah memegang jawatan seperti termaktub dalam fasal 9.5.

“Bila saya kata saya tidak pernah mememgang mana-mana jawatan, pegawai itu bertanya sama ada saya nak tarik diri atau tidak memandangk­an syarat 9.5 tidak ditepati.

“Maka, saya kata teruskan saja. Biarkan proses saringan berjalan seperti biasa. Kalau saya mahu tarik (permohonan) tidak sedap (elok). Paling tidak kita dapat lihat mereka lakukan kerja (saringan),” katanya.

Seperti yang terkandung dalam borang permohonan, mengikut syarat 9.5, calon yang ingin bertanding untuk mana-mana jawatan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) hendaklah mendaftark­an dirinya dan pernah memegang mana-mana jawatan sebagai AMT atau Ahli Jawatankua­sa Bahagian selama satu penggal.

Rahmat Azim, 46, yang juga blogger dikenali sebagai ‘Mat UMNO’ adalah ahli UMNO biasa bagi bahagian Penampang dan Kota Raja.

Beliau secara rasmi menyertai UMNO pada 1999.

Jika namanya layak untuk bertanding bagi jawatan Presiden UMNO, beliau akan membawa perubahan kepada parti keramat orang Melayu itu supaya tidak dibelenggu penyelewen­gan dan rasuah.

Beliau juga komited untuk pastikan UMNO lebih terbuka menerima pendapatan dan kritikan dalam akar umbi demi memastikan parti itu terus relevan.

“Saya hantar pencalonan disebabkan tiada orang muda terima cabaran. Jadi, saya perjuangka­n agenda melawan korupsi dan penyelewen­gan dalam UMNO. Saya juga akan perjuangka­n kebajikan parti, tetapi ahli UMNO mesti berubah,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia