Harian Metro

Jasad di kolam

- Dziyaul Afnan Abdul Rahman news@nstp.com.my

 Remaja mandi bersama rakan terkapai-kapai lemas

Remaja lelaki ditemui lemas selepas mandi di sebuah kolam terbiar bersama rakannya di Kampung Kubang Siput, Kurong Anai di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10 pagi, mangsa, Mohamad Azwan Ahmad Nizam, 13, bersama dua rakannya keluar dari rumah jam 9.30 pagi ke kolam berkenaan untuk mandi.

Abang mangsa yang ingin dikenali sebagai Fendi, 19, berkata, itu kali pertama adiknya keluar mandi ke kolam berkenaan.

“Adik sebelum ini tidak pernah mandi di kolam ini kerana ia terbiar dan dalam.

“Cuma pagi tadi (semalam) dua kawannya datang ajak adik keluar dan mereka berbasikal ke kolam terbabit,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Dia berkata, adiknya tidak menunjukka­n sebarang perubahan sebelum ditemui lemas di kolam terbiar itu.

“Namun sebelum adik hendak keluar bersama rakan, nenek tanya dia hendak ke mana.

“Adik tak jawab dan terus mengambil basikal sebelum keluar bersama rakan,” katanya.

Rakan mangsa yang enggan dikenali berkata, mangsa orang pertama terjun ke kolam itu sebaik tiba di lokasi kejadian.

“Dik Wan (Azwan) terjun dulu, tetapi gagal berenang dan terkapai-kapai kerana kami dimaklumka­n dia belum mahir berenang.

“Melihat dia terkapai-kapai kami tidak berani menyelamat­kannya kerana khuatir turut lemas lalu pergi mendapatka­n bantuan orang ramai,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Arau Superinten­dan Nanda Maarof berkata, polis menerima laporan kejadian jam 10.54 pagi.

“Operasi mencari dan menyelamat dilakukan bomba dan mayat mangsa ditemui jam 12.45 tengah hari tadi (semalam).

“Kes diklasifik­asikan sebagai mati mengejut (SDR) dan mayat dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk bedah siasat,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia