Harian Metro

Berkali-kali cium dahi ibu

-

Kuala Terengganu: “Sebelum keluar rumah semalam (kelmarin), beberapa kali dia salam dan meminta maaf dengan saya serta ibunya, tetapi kami tak fikir apa-apa kerana dia suka bergurau,” kata bekas EXCO kerajaan negeri, Datuk Mohd Jidin Shafie.

Beliau berkata, anaknya, Muhammad Izzat Husairi, 17, yang maut dalam kemalangan di Jalan Sultan Zainal Abidin, dekat Kampung Tanjung di sini, petang kelmarin juga beberapa kali mencium dahi dan pipi ibunya, Toh Puan Zaimah Abd Aziz sebelum keluar rumah.

Penuntut Kolej Vokasional Wakaf Tembusu, di sini, maut di tempat kejadian selepas motosikal Yamaha 125ZR ditunggang hilang kawalan sebelum bergesel dengan kereta.

Ketika kejadian kira-kira jam 5 petang, Muhammad Izzat yang juga atlet memanah negeri dalam perjalanan pulang ke rumah keluargany­a di Kampung Losong Haji Long, di sini, selepas beraya di sekitar bandar raya.

“Arwah keluar kira-kira jam 2 petang selepas solat Zuhur dan bersalaman lebih tiga kali sambil meminta maaf dengan saya serta ibunya serta mencium dahi ibunya sebelum keluar. Sedangkan sebelum ini dia tak pernah berbuat begitu.

“Bagaimanap­un, kami tak fikir apa-apa yang pelik kerana arwah suka bergurau.

“Saya tak sangka ia petanda dia akan pergi meninggalk­an kami selama-lamanya,” katanya selepas pengebumia­n Allahyarha­m Muhammad Izzat di Tanah Perkuburan Islam Sheikh Ibrahim, di sini, jam 1 pagi, semalam.

Mohd Jidin yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri berkata, walaupun terkejut dengan kejadian itu, mereka sekeluarga reda dengan ketentuan Ilahi.

Hadir sama pada majlis pengebumia­n itu, Adun Batu Rakit Bazlan Abd Rahman, ADUN Langkap Datuk Sabri Mohd Noor dan Pegawai Daerah Setiu Rosdi Awang.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia