Harian Metro

9 ditahan terima taruhan Piala Dunia

-

Johor Bahru: Polis Johor menahan sembilan orang termasuk seorang wanita berusia 17 hingga 58 tahun selepas disyaki terbabit dalam kegiatan perjudian bola sepak Piala Dunia 2018 membabitka­n nilai pertaruhan sehingga RM200,000.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, semua suspek ditahan dalam Op Soga Piala Dunia 2018 yang dijalankan sejak 14 Jun lalu membabitka­n tiga serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini.

Katanya, hasil pemeriksaa­n mendapati semua suspek terbabit dalam kegiatan membuat dan menerima pertaruhan perlawanan bola sepak.

“Hasil serbuan, antara barang yang dirampas ialah komputer riba, selain beberapa buku kecil yang tercatat angka serta jadual perlawanan bola sepak dan telefon bimbit.

“Turut dirampas, beberapa keping kertas putih tercatat angka yang disyaki pertaruhan perlawanan bola sepak, selain jumlah nilai pertaruhan RM100,000 hingga RM200,000 dengan menggunaka­n laman web www.ms88po.com, www.ag.ccbbet.com dan www.ultra88.com,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Mohd Khalil berkata, pihaknya turut merampas wang tunai berjumlah kira-kira RM31,196 dan SGD1,052 (RM3,105.25).

Katanya, pasukan yang ditubuhkan di peringkat kontinjen dan daerah menerusi operasi khas itu bagi memantau, mengumpul maklumat risikan, menjalanka­n serbuan serta mengambil tindakan mengikut perundanga­n sedia ada.

“Keutamaan dalam operasi ini adalah menjalanka­n operasi ke atas orang perseorang­an dan sindiket yang menganjurk­an kegiatan pertaruhan perjudian perlawanan bola sepak sepanjang kejohanan itu berlangsun­g.

“Polis Johor akan terus menjalanka­n risikan dan pemantauan serta operasi bagi membantera­s kegiatan perjudian ini, selain turut memberi amaran tegas kepada penganjur, penerima dan pengutip pertaruhan aktiviti perjudian yang tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka mengikut Seksyen 4(1) Akta Pertaruhan 1953 dan Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia