Harian Metro

Gegar Eropah

 Tiga tonggak AMD terpilih wakili PSG B-13

- Firdaus Hashim firdaushas­him@nstp.com.my

Tiga tonggak Akademi Bolasepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) melakar sejarah baru arena tempatan apabila dijemput mewakili Bawah-13 Paris Saint-Germain (PSG) untuk saingan terulung Eropah di Kejohanan Antarabang­sa V Memorial Giuseppe Augello di Rome, Itali, 21-24 Jun ini.

Pemain bertuah berkenaan ialah Hazriq Haqqim Mohd Izham, Rohisham Haiqal Hashim dan Mohammad Haykal Danish. Kelab ternama Perancis itu akan memberi peluang kepada pemain luar pada setiap tahun untuk mewakili mereka dalam mana-mana kejohanan sebelum ditawarkan kontrak apabila mereka mencecah usia 18 tahun nanti.

Peluang keemasan itu tidak seharusnya disia-siakan ketiga-tiga mereka yang kini dilihat sudah sebelah kaki berjaya menempatka­n diri untuk beraksi di bumi Eropah.

Hazriq Haqqim, 13, yang dinobatkan selaku penjaga gol terbaik di Piala Joinville di Perancis April lalu, mempunyai sesuatu yang mahu dibuktikan­nya dan berharap peluang itu dapat menjadi titik permulaan kepada lebih ramai pemain negara beraksi di luar negara.

“Semua orang tahu pemain-pemain terbaik dunia banyak bermain di PSG, jadi saya amat teruja dan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencari tempat dalam pasukan.

“Saya tahu saingan pasti sukar tetapi ia tidak mustahil. Saya harap dapat menampilka­n aksi terbaik agar mereka berminat dan dapat buka pintu seluas-luasnya untuk pemain dari Malaysia bermain di sana,” katanya yang mengakui meminati penjaga gol Manchester United dan Sepanyol, David de Gea.

Ketiga-tiga mereka berpeluang bersaing dengan kelab-kelab tersohor lain yang turut menyertai kejohanan itu seperti AS Roma, Lazio, Juventus, Inter Milan dan Atletico Madrid.

Sekiranya prestasi mereka dikekalkan atau bertambah baik setiap tahun, tidak mustahil kita akan dapat saksikan pemain Malaysia bermain di liga utama Eropah dan Asia sedikit masa lagi.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik berkata, pihaknya sentiasa menyokong penuh usaha AMD dalam melahirkan pemain berkualiti.

“Hari ini kita gembira apabila ada pemain-pemain muda kita berjaya mendapat tempat di Eropah. Bukan mudah untuk mengetuk pintu kelab-kelab besar seperti PSG ini, namun saya percaya bakat pemain kita ini cukup hebat dan mampu meraih keputusan terbaik nanti,” katanya.

 ?? FOTO: ASWADI ALIAS ?? DARI kiri Haykal Danish, Hazriq Haqqim dan
Rohisham Haiqal memperaga jersi PSG.
FOTO: ASWADI ALIAS DARI kiri Haykal Danish, Hazriq Haqqim dan Rohisham Haiqal memperaga jersi PSG.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia