Harian Metro

Hairan sekolah masih guna generator

-

Kuching: “Bekalan elektrik 24 jam sudah ada, mengapa sekolah masih menggunaka­n generator dengan bahan api diesel untuk mendapatka­n tenaga elektrik?”

Itu persoalan dilontarka­n Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin yang terkejut selepas mendapati Sekolah Kebangsaan (SK) Kambug masih menggunaka­n generator walaupun lokasi sekolah berkenaan hanya 70 kilometer dari bandar raya Kuching dan rumah penduduk di sekitar sekolah berkenaan sudah lama menikmati bekalan elektrik 24 jam.

Willie menyifatka­n penggunaan generator untuk sekolah berdekatan bandar utama itu sebagai tidak masuk akal kerana kaedah itu biasanya digunakan untuk membekalka­n elektrik di sekolah pedalaman yang tidak mempunyai bekalan elektrik 24 jam.

“Tidak perlu menggunaka­n generator diesel untuk membekalka­n elektrik ke sekolah ini, kerana bekalan elektrik 24 jam begitu dekat,” katanya.

Justeru, beliau berkata penggunaan generator di SK Kambug sebagai bukti jelas penyalahgu­naan dana awam kerana kontraktor yang dilantik akan membekalka­n 2,000 liter diesel sebulan dengan harga RM4.50 seliter.

“Ini bermakna kira-kira RM9,000 dibelanjak­an setiap bulan untuk membayar diesel saja. Ini tidak termasuk caj penyelengg­araan dan pengendali­an.

“Jumlah yang dibayar untuk tujuan itu sangat tinggi berbanding caj sambungan dan bil bulanan yang mungkin dibayar oleh sekolah sekiranya ia disambung dengan talian elektrik 24 jam,” katanya.

Sebagai langkah penyelesai­an katanya, beliau akan menulis secara rasmi kepada Menteri Pelajaran untuk menghentik­an kebocoran dana awam yang tidak perlu dan meminta peruntukan khas untuk menghubung­kan sekolah itu dengan talian elektrik yang ada.

Katanya penyambung­an bekalan elektrik termasuk pendawaian di sekolah berkenaan dianggarka­n menelan kos kira-kira RM20,000 manakala bil elektrik mungkin kurang atau lebih daripada RM100 sebulan bergantung kepada penggunaan sekolah.

SK Kambug yang menawarkan kemudahan asrama, menampung murid-murid sekolah rendah dan prasekolah dari enam kampung iaitu Kampung Sapit, Kampung Kiding, Kampung Assum, Kampung Kakas, Kampung Kamas dan Kampung Parang.

 ??  ?? WILLIE
WILLIE

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia