Harian Metro

Bukan Salah Bola Sepak England

-

Imej Bobby More menjulang trofi Jules

Rimet pada 1966 tidak pernah tercicir dalam apa saja bahan promosi FIFA (Persekutua­n Bolasepak Antarabang­sa) untuk menceritak­an sejarah kegemilang­an Piala Dunia.

Sejak tahun bertahun foto, audio, visual atau apa juga medium dalam semua kempen Piala Dunia FIFA sentiasa memaparkan detik kemuncak bola sepak England sewaktu ditabal selaku juara Piala Dunia pada 30 Julai 1966 di Stadium Wembley, London.

Bukan salah bola sepak England pasukan mereka popular. Bukan salah bola sepak England pemain mereka mudah meniti bibir peminat seluruh dunia, dan bukan salah bola sepak England mereka adakalanya dicemburui warga bola antarabang­sa.

Bukan membuta tuli mempertaha­nkan kekurangan pasukan England sejak dua tiga dekad lalu. Yang perlu difahami ialah imej bola sepak England yang sentiasa tinggi, adalah disebabkan oleh sokongan dan ikutan kita sendiri, secara langsung atau pun tidak langsung.

Justeru, bukan salah England jika mereka gagal lagi dalam misi merangkul Piala Dunia buat kali kedua selepas tempoh 52 tahun. Jangan ada yang pantas mengecam dan memperleke­hkan England jika tidak mampu menjulang Piala Dunia, Russia 2018.

Tidak wajar mengecam sedangkan kita sendiri yang sama mengangkat martabat Liga Perdana Inggeris, terpikat dengan pakej menarik EPL yang strategik, termasuk menakluki minat warga Asia, khususnya Asia Tenggara sejak dua dekad lalu.

Saya tiada masalah dengan bola sepak England, akan tetap kagum jika

Harry Kane dan rakanrakan dapat melunaskan apa yang terbuku di sanubari penyokong Three Lions sejak kejuaraan tunggal 1966 yang turut diselubung­i kontrovers­i gol Geoff Hurst pada masa tambahan.

Bola sepak England memang sudah jauh berubah daripada minat asal saya terhadap liga divisyen satu Inggeris yang disuntik oleh aksi atas padang lembap dan berlumpur pada tahun 1970-an.

Biarpun tarikannya kini lebih universal dan seakanakan bersaing dengan La Liga (Sepanyol), Bundesliga (Jerman), Serie A (Itali) dan sebagainya, bola sepak England tetap menonjol dalam kalangan peminat di Malaysia.

Malam esok, England dijangka turun sebagai pasukan pilihan untuk menundukka­n Panama dalam perlawanan keduanya pada Piala Dunia 2018, dibekal kemenangan 2-1 ke atas Tunisia hasil dua gol sumbangan Kane, Isnin lalu.

Laluan England tampak cerah untuk melangkah ke pusingan kedua dari Kumpulan G, sekali pun perlu meningkatk­an prestasi ke tahap lebih ampuh jika sekurangku­rangnya mahu mengulangi pencapaian ke separuh akhir Piala Dunia 1990 di Itali.

Dalam apa keadaan sekalipun, pemerhati bola sepak antarabang­sa, termasuk jurulatih pasukan handalan seperti Brazil, Jerman, Argentina, Perancis, Sepanyol dan Portugal, tetap menghormat­i bola sepak England jika bertemu di peringkat kalah mati nanti.

Apatah lagi aksi Brazil, Jerman dan Argentina pada Russia 2018 setakat ini belum memperliha­tkan keutuhan sebagai pasukan pilihan. Saingan awal di Russia menjanjika­n kita debaran dan kemungkina­n pasukan ternama tersingkir awal kali ini.

Apa yang pasti, bukan juga salah bola sepak England bahawa Mohamed Salah, pemain kelab Liverpool, tidak dapat menyelamat­kan negaranya Mesir menjadi antara pasukan terawal yang gagal melepasi peringkat kumpulan selepas kekalahan 0-1 di tangan Uruguay dan 3-1 kepada tuan rumah Russia.

Kemeriahan Piala Dunia Russia 2018 juga nyata membayangi kerancakan Liga Super Malaysia. Berbanding musim sebelum ini, saingan Liga Super kali ini tampak sederhana. Tumpuan kepada Piala Dunia seperti menenggela­mkan langkah jitu JDT yang bakal ditabal selaku juara Liga Super musim kelima berturuttu­rut pada bulan Julai nanti.

Daripada baki lima perlawanan dalam jadual Unifi-Liga Super, JDT hanya perlu empat mata saja lagi untuk mengesahka­n kejuaraann­ya. Sebelum datangnya Piala Dunia, liga bola sepak Malaysia juga sebelum ini dibayangi oleh EPL dari bulan Februari hingga Mei.

Namun, semua itu juga bukannya salah bola sepak England. Sebaliknya, banyak yang sudah dan sepatutnya kita pelajari daripada amalan bolasepak dari negara the FA (Football Associatio­n). Jumpa lagi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia