Harian Metro

Merawat artritis reumatoid

-

Apa itu artritis reumatoid?

Pernahkah anda mendengar atau ada dalam kalangan ahli keluarga menghidap penyakit artritis reumatoid? Artritis reumatoid sejenis penyakit autoimun membabitka­n sistem muskuloske­letal dengan keadaan radang pada sendi.

Pada kebiasaann­ya, sistem pertahanan badan akan melawan benda asing seperti bakteria dan virus. Tetapi bagi penyakit artritis reumatoid atau radang sendi, sistem pertahanan badan menyerang sendi yang sihat dan mengakibat­kan berlakunya radang atau inflamasi. Seterusnya, tisu sendi akan membengkak dan menyebabka­n rasa sakit.

Antara simptom biasa dialami penghidap penyakit ini lebih daripada satu sendi membengkak dan menjadi radang.

Sendi sering terbabit adalah sendi tangan dan kaki. Sendi ini boleh menjadi kaku pada waktu pagi dan susah bergerak. Jika penyakit ini tidak dirawat, lama-kelamaan sendi akan menjadi rosak dan hilang keupayaan.

Rawatan

Rawatan boleh dibahagika­n kepada dua jenis, iaitu menggunaka­n ubat-ubatan dan tidak menggunaka­n ubat.

Contoh rawatan yang tidak menggunaka­n ubat-ubatan adalah fisioterap­i dan pembedahan.

Bagi menggunaka­n ubatubatan, ada beberapa jenis ubat iaitu ubat antiinflam­asi atau antiradang, kortikoste­roid dan ‘diseasemod­ifying anti-rheumatic drugs’ (DMARD).

Ubat-ubatan ini biasanya dipreskrip­si oleh doktor kepada pesakit selepas pemeriksaa­n. Jenis ubat, dos dan tempoh penggunaan ubat berlainan antara pesakit bergantung kepada tahap penyakit artritis reumatoid yang dihidapi.

Ubat NSAIDs (antikerada­ngan bukan steroid)

NSAIDs adalah satu kelas ubat yang mempunyai kesan antiradang dan kesan analgesik (melegakan kesakitan). NSAIDs sering digunakan bagi mengurangk­an keradangan dan kesakitan pada sendi pesakit. Contohnya celecoxib dan meloxicam.

NSAIDs bertindak dengan menghalang penghasila­n prostaglan­din, sejenis bahan kimia dalam badan yang mengawal inflamasi. Penguranga­n prostaglan­din oleh NSAIDs menyebabka­n inflamasi berkuranga­n dan menghilang­kan rasa sakit pada sendi.

Bagaimanap­un, penggunaan NSAIDs dalam jangka masa panjang memerlukan pemantauan rapi bagi mengelakka­n kesan sampingan.

Antara kesan sampingan biasa dialami daripada penggunaan NSAIDs secara berpanjang­an adalah ulser perut, pendarahan dan kerosakan buah pinggang.

Kortikoste­roid

Bagi merawat pesakit artritis reumatoid, ubat daripada kumpulan kortikoste­roid juga mengurangk­an inflamasi pada sendi dan mengurangk­an rasa sakit.

Contoh kortikoste­roid yang digunakan dalam rawatan penyakit ini adalah ubat prednisolo­ne.

Dos steroid diberikan kepada pesakit untuk rawatan indikasi biasanya rendah. Namun, pemeriksaa­n oleh doktor secara berterusan diperlukan bagi memantau kesan sampingan penggunaan steroid.

Antara kesan sampingan penggunaan steroid jangka pendek ialah pertambaha­n berat badan secara mendadak dan fenomena ‘muka bulan’ - bentuk muka pesakit berubah menjadi bulat dan sembap.

Penggunaan steroid jangka panjang pula akan menyebabka­n kerosakan buah pinggang dan tulang rapuh kemudian yang boleh mengakibat­kan osteoporos­is.

Disease-modifying antirheuma­tic drugs (DMARD)

DMARD terbahagi kepada dua jenis, iaitu agen biologik dan agen bukan biologik. Kebanyakan agen bukan biologik DMARD dalam bentuk pil atau tablet, contohnya Methotrexa­te, Hydroxychl­oroquine dan Azathiopri­ne.

Proses penyakit artritis reumatoid akan diperlahan­kan oleh agen ini dengan mengubah suai sistem imun dengan cara tertentu, seterusnya akan mengurangk­an radangan dan rasa sakit pada sendi.

Agen biologik DMARD kebiasaann­ya dalam bentuk suntikan, contohnya Rituximab. Ubat ini boleh digunakan secara kombinasi dengan agen bukan biologik DMARD bergantung kepada keadaan pesakit.

Ubat dalam kumpulan ini akan bertindak dengan menghalang penghasila­n molekul atau sel imun yang terbabit dalam proses inflamasi dan seterusnya mengekang berlaku inflamasi pada sendi.

Walaupun artritis reumatoid tidak boleh dielakkan, tetapi pengesanan dan diagnosis tepat penting agar rawatan dan khidmat nasihat sesuai diberikan kepada pesakit dengan segera.

Pesakit perlu berjumpa doktor bertauliah bagi menjalani ujian sewajarnya.

Pertanyaan berkaitan ubat-ubatan, hubungi

Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre-NPCC) melalui talian 1800-88-6722, Isnin hingga Jumaat dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia