Harian Metro

Agungnya cinta kerusi roda

- Mohd Nazllie Zainul cnews@nstp.com.my

 Pasangan OKU selamat diijab kabul

“Saya tak pernah terfikir mendirikan rumah tangga kerana sedar kekurangan diri namun perancanga­n Allah itu indah apabila ditakdirka­n bertemu pasangan sama seperti saya,” kata pengantin orang kurang upaya (OKU), Izyani Hayati Abbas, 34.

Perkenalan ketika mengikuti kursus keusahawan­an anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA) dua tahun lalu menimbulka­n bibit cinta di antara Izyani Hayati dan Erman Juani, 35, seterusnya membawa pasangan masing-masing berkerusi roda itu bersatu di jenjang pelamin.

Izyani Hayati adalah pengusaha biskut makmur yang tidak boleh berjalan sejak lahir disebabkan penyakit Spina Bifida manakala Erman adalah bekas atlet memanah paralimpik mewakili Sabah yang menghidap tibi meningitis dan tidak mampu berjalan.

Pasangan OKU itu bergelar suami isteri pada jam 9.40 pagi kelmarin dengan sekali lafaz yang mana pengantin perempuan menerima mas kahwin RM300 dan cincin dalam majlis diadakan di rumah keluarga Izyani Abbas di Taman Kingston, di sini.

Izyani Hayati yang lumpuh separuh badan berkata, selepas perkenalan ketika bersama-sama mengikuti kursus keusahawan­an, mereka semakin rapat hingga mengambil keputusan melangsung­kan pertunanga­n pada Oktober tahun lalu.

“Walaupun berkerusi roda, bagi saya adalah cabaran harus ditempuh apabila mengambil keputusan bergelar isteri. Insya-Allah kekurangan diri tidak akan menjadi penghalang untuk saya menunaikan tanggungja­wab sebagai isteri.

“Dalam pada itu, saya merancang mengajak suami untuk sama menjalanka­n perniagaan biskut makmur di bawah jenama Makemore Marvelous yang saya usahakan sejak beberapa tahun lalu,” kata anak bongsu daripada lima beradik itu.

Sepanjang Ramadan lalu, Izyani Hayati tidak menang tangan menyiapkan tempahan biskut makmur pelbagai perisa yang ditempah pelanggan untuk dijadikan juadah Aidilfitri.

Sementara itu, Erman berkata, dia mahu menjadi suami dan ketua keluarga terbaik serta perancanga­n terdekatny­a adalah menjadi pemandu Grab, selain membantu isteri menguruska­n perniagaan biskut makmur.

 ??  ?? ERMAN bersama Izyani Hayati pada majlis akad nikah di rumah pengantin perempuan di Tuaran, kelmarin.
ERMAN bersama Izyani Hayati pada majlis akad nikah di rumah pengantin perempuan di Tuaran, kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia