Harian Metro

Cabaran mental, fizikal selamat mangsa lemas

-

Kuantan: Berdepan pendakian selama tiga jam serta perlu meredah hutan untuk sampai ke tingkat tujuh Air Terjun Berkelah. Itu antara cabaran yang terpaksa diharungi pegawai dan anggota dari unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang sebelum melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas di kawasan air terjun itu.

Pegawai Bomba Kanan II Alif Hafizul Mohammad, 35, berkata, cabaran fizikal dan mental perlu dihadapi pegawai dan anggota PPDA sebelum melakukan operasi menyelamat seperti terpaksa memikul bebanan hampir 10 kilogram (kg) seorang untuk ke tingkat tujuh Air Terjun Berkelah.

“Apabila kami terima panggilan mengatakan ada kes lemas di sana, (Air Terjun Berkelah) segala peralatan menyelamat disiapkan seperti tangki oksigen, tali peralatan menyelam dan sebagainya. Setiap seorang tidak kurang membawa beban 10kg selain perlu menempuh laluan pendakian mencabar.

“Mental dan fizikal perlu kental kerana sebaik sampai ke lokasi, tugas adalah mencari mangsa dengan melakukan teknik selaman,” katanya.

Alif Hafizul yang berpengala­man 12 tahun dalam unit PPDA turut berkongsi pengalaman mencari mangsa lemas di Air Terjun Berkelah terutama di tingkat tujuh yang disifatkan­nya sebagai lokasi penuh misteri.

“Setakat ini, saya belum pernah mendengar cerita mistik di kawasan itu tapi kawasan yang sering orang lemas di situ mempunyai arus dan tarikan yang kuat.

“Mungkin disebabkan pusaran air menyebabka­n mangsa yang pandai berenang turut ditarik. Kawasan lubuk ini juga seakan mempunyai arus elektrik,” katanya.

Dia yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan menyifatka­n lokasi berkenaan amat berbahaya kerana tekanan air boleh hadir pada waktu tidak dijangka sekali gus membahayak­an nyawa orang ramai mandi di kawasan berkenaan.

Sementara itu, anggota PPDA Mardi Abdullah, 40, berkata, sebagai penyelam yang berpengala­man serta pernah beberapa kali terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas, dia tetap berwaspada apabila melakukan selaman di Air Terjun Berkelah.

Katanya, menyelam di kawasan itu terutama di tingkat tujuh air terjun banyak menggunaka­n tenaga selain memerlukan fokus yang tinggi.

“Kedalaman lubuk air terjun ini lebih 12 meter, saya perlu pastikan tangki oksigen berfungsi dengan baik,” katanya.

Mardi berkata, dia juga pernah terbabit membawa keluar mayat menggunaka­n helikopter dari kawasan air terjun tingkat tujuh itu dan jika cuaca tidak mengizinka­n dia bersama rakan lain perlu membawa turun mangsa melalui jalan hutan.

Kajian mendapati terdapat lokasi mandi yang berkedalam­an hingga 12 meter

Abdul Wahab

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia