Harian Metro

Awas Uruguay!

- Reuters

 Miranchuk tak sabar robek gawang La Celeste

Tuan rumah Piala Dunia, Russia tidak rela Uruguay menyekat rentak kemenangan mereka pada aksi yang bakal menentukan juara Kumpulan A, kata pemain tengahnya, Aleksei Miranchuk.

Russia mara ke peringkat kalah mati buat kali pertama selepas era Soviet menerusi kemenangan 3-1 ke atas Mesir, selepas membelasah Arab Saudi 5-0 pada aksi pembukaan.

Menyertai Piala Dunia sebagai pasukan dengan ranking paling rendah, kejayaan Russia nyata mengejutka­n penyokong dan juga kancah bola sepak antarabang­sa.

Mereka kini mahu meneruskan rentak kemenangan apabila bertemu Uruguay yang turut mengesahka­n tempat ke pusingan kedua menerusi dua kemenangan setakat ini.

“Uruguay pasukan yang berbahaya, mereka memiliki penjaring gol yang bagus,” kata Miranchuk yang belum lagi diberi peluang beraksi pada kempen kali ini.

“Namun kami tidak mahu rentak kemenangan kami terhenti setakat di sini.”

Miranchuk yang mahu pasukannya menjadi pasukan pertama merobek gawang Uruguay pada kempen kali ini turut mengintai peluang untuk beraksi pada perlawanan itu.

“Saya tidak tahu mana yang lebih sukar, beraksi di tengah padang atau sekadar memanaskan bangku simpanan,” kata pemain tengah Lokomotiv Moscow itu.

“Anda risau apabila sekadar di bangku simpanan, namun ia tidak boleh berlaku apabila berada di tengah padang. Saya bersedia untuk beraksi.

“Setiap pasukan ada 23 pemain, bukan 11 pemain. Saya akan menanti peluang saya.”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia