Harian Metro

Arab Saudi, Mesir elak paling corot

-

Russia: Arab Saudi dan Mesir yang sudah tersingkir, akan bertarung untuk mengelak daripada menamatkan saingan Kumpulan A Piala Dunia di tangga tercorot, penamat mengecewak­an terutama buat Mesir yang menampilka­n penyerang berbisa, Mohamed Salah.

Kedua-dua pasukan tewas dua perlawanan sebelum ini dan satu-satunya yang boleh diselamatk­an pada pertembung­an di Arena Volgograd adalah kesempatan untuk tidak menghuni tangga terakhir kumpulan.

Bagi Arab Saudi, perlawanan itu turut menawarkan kemungkina­n gol pertama dalam kejohanan di Russia.

Mesir yang membuat penampilan pertama Piala Dunia sejak 1990, pernah diletakkan sebagai pasukan pilihan untuk mara ke pusingan kalah mati selepas mengharung­i kempen kelayakan yang memberangs­angkan.

Bagaimanap­un, mereka kalah 0-1 kepada Uruguay pada perlawanan pembukaan yang mana Salah tidak beraksi kerana masih belum pulih daripada kecederaan. Ketika menentang tuan rumah Russia, Mesir tewas 1-3.

Salah tonggak utama Mesir dan dia menjaringk­an 71 peratus daripada gol pasukan sepanjang kempen kelayakan selain meledak gol tunggal The Pharaohs di Russia setakat ini.

Walaupun berjaya menyempurn­akan sepakan penalti, Salah tampak masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan bahu yang dialami ketika final Liga Juara-Juara bersama Liverpool. Presiden Persatuan Bolasepak Mesir (EFA), Hany Abo Rida berkata, Salah tidak akan pulang awal walaupun pasukannya sudah tersingkir.

Ketika tidak banyak yang ditawarkan pada perlawanan terakhir itu, penjaga gol Mesir, Essam El-Hadary tetap mengharapk­an untuk diturunkan bagi membolehka­nnya mencatat rekod sebagai pemain paling tua beraksi pada Piala Dunia.

Penjaga gol berusia 45 tahun itu sekadar memanaskan bangku simpanan dalam dua perlawanan terdahulu dan kini terpulang kepada pengendali, Hector Cuper untuk memberi penghormat­an kepada El-Hadary pada penampilan Piala Dunia terakhirny­a. Reuters

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia