Harian Metro

‘Tahun ini sayu tak pulang’

- bersama Ainin Sofiya Edy Tonnizam Penulis Pelajar Universiti Alexandria, Mesir

“Di hari raya. Terkenang daku kepada si dia. Kampungku indah nun jauh di sana. Ayah serta bondaku.”

Bergema takbir di corong masjid. Tiada bunyi mercun kedengaran. Jalan agak sunyi. Itulah suasana raya di Mesir. Setelah sebulan berpuasa, alhamdulil­lah kita bertemu hari kemenangan seluruh umat Islam.

Pada tahun ini, saya tidak pulang ke tanah air untuk berhari raya kerana peperiksaa­n akhir bakal bermula selepas raya. Ini adalah tahun kedua saya beraya di perantauan jauh daripada keluarga dan sanak-saudara.

Walaupun sedih jauh di sudut hati, inilah pengorbana­n yang perlu dihadapi apabila belajar di perantauan.

Namun begitu kami masih menyambutn­ya dengan gembira bersama rakan taulan. Seusai pengumuman raya dibuat, meluangkan masa bersama pada malam raya bertakbir beramai-ramai. Kami bergotong-royong memasak juadah raya seperti rendang, kuah kacang, nasi impit dan kuah lodeh. Dengan bertemanka­n YouTube, kami memasang lagu raya klasik Malaysia untuk menyemarak suasana raya.

Keesokan pagi, seluruh pelajar Malaysia di Iskandaria­h berkumpul di Dewan Masrah, Iskandaria­h bagi menyambut Aidilfitri yang mulia ini. Kami menunaikan solat sunat hari raya bersama-sama dan mendengar khutbah disampaika­n Pegawai MARA Mesir. Selepas itu, aktiviti dinantikan tentulah menjamu juadah hari raya yang disediakan sekumpulan pelajar pada malam raya.

Kami dihidangka­n nasi minyak, sate, rendang, kambing bakar dan kuih raya. Terubat rindu masakan dan juadah istimewa hari raya. Berada jauh di perantauan serta menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri tanpa keluarga tersayang sama sekali tidak menghalang kami meraikan Syawal dengan penuh kesyukuran dan kemeriahan. Syawal tetap diraikan bagai di negara sendiri biarpun hakikatnya kami jauh beribu-ribu batu dari kampung halaman.

Selepas itu, sesi mengambil gambar kenangan dirakam oleh setiap pelajar di sini. Pada tahun ini, hari raya ditemani cuaca panas terik mencecah 41 darjah Celcius. Walaupun begitu, ia tidak menghalang kami bergambar di tepi pantai pada waktu petang.

Selain sambutan beramai-ramai, kami juga membuat rumah terbuka antara pelajar Malaysia di sini. Tuan rumah menyediaka­n juadah seperi laksa, nasi tomato dan sebagainya serta menjemput rakan taulan dan sahabat handai beraya di rumah. Budaya masyarakat Arab di sini tiada rumah terbuka. Hanya melawat keluarga terdekat saja.

Berlainan pula dengan masyarakat Arab di sini, mereka tidak membuat persiapan raya semeriah rakyat Malaysia. Tiada juadah istimewa mahupun rumah terbuka. Di Mesir, mereka hanya tumpukan bulan Ramadan saja. Tidak seperti di Malaysia, kita meriah dengan sambutan perayaan. Hari Raya Korban di sini lebih meriah berbanding di Malaysia. Namun begitu, mereka masih mengenakan pakaian baharu semasa hari raya. Selain itu, duit raya juga diberi kepada keluarga terdekat dalam masyarakat Mesir. Sedikit sebanyak masih ada persamaan dengan sambutan raya di Malaysia.

Seperti umat Islam lain, waktu pagi masyarakat Arab Mesir berkumpul di masjid dan menunaikan solat sunat hari raya. Mereka menunaikan solat hari raya jam 5.30 pagi iaitu setelah habis waktu fajar. Solat sunat di sini agak singkat kerana khutbahnya pendek saja. Selepas itu mereka bertakbir bersama-sama. Perbezaan takbir juga dapat dilihat berbanding di Malaysia. Di sini, nada takbirnya lebih semangat dan mendatar berbanding Malaysia yang lebih mendayu intonasiny­a. Seusai solat raya, mereka pulang ke rumah masing-masing. Hanya hari raya kita dapat melihat betapa sunyinya Mesir tanpa bunyi hon dan manusia. Mereka lebih banyak menghabisk­an masa bersama keluarga di dalam rumah.

Di Malaysia, kita ada sesi bermaaf-maafan, tetapi di sini tiada budaya seperti itu. Di Mesir mereka meluangkan masa bersama keluarga saja, tidak ada menziarahi jiran tetangga mahupun rakan taulan. Biasanya mereka berkumpul bersama keluarga di taman sambil memakan hidangan khas raya di Mesir iaitu Ranja, makanan dibuat daripada ikan masin dan acar. Selain itu, mereka juga ada menyediaka­n biskut raya iaitu Ka’kun. Biskut yang berintikan kurma mahupun krim dan disalut dengan gula aising.

Akhir kata, dalam keghairaha­n menyambut Hari Raya Aidilfitri, perlu diingat jangan sesekali lupa kewajipan terhadap Allah S.W.T seperti mendirikan solat lima waktu. Sambutan hari raya sebenarnya bukanlah semata-mata kegembiraa­n atau keseronoka­n saja, tetapi lebih penting dan utama ialah mendapatka­n keberkatan dan keredaan Allah S.W.T. Oleh itu, hiasilah Aidilfitri dengan perkara membawa kebaikan di akhirat kelak. Dalam kesempatan ini, saya memohon ampun dan maaf sekiranya ada salah dan silap tidak tersengaja dilakukan. Selamat Hari Raya Aidilfitri kami ucapkan.

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia