Harian Metro

Lima anggota Geng Vaval ditahan

-

Klang: Polis menemui pelbagai jenis barang kemas termasuk berlian dan jed ketika serbuan terhadap lima lelaki yang dipercayai terbabit kes pecah rumah di Taman Gembira, dekat sini, Jumaat lalu membabitka­n kerugian RM500,000.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, tangkapan ke atas lima suspek yang dikenali Geng Vaval termasuk ketuanya itu dilakukan di beberapa lokasi berasingan sekitar Klang bermula jam 12 tengah hari hingga petang kelmarin.

“Kelima-lima suspek warga tempatan yang ditahan itu berusia 24 hingga 44 tahun termasuk pemilik kedai emas yang mengaku membeli barangan hasil jenayah geng berkenaan.

“Dalam tangkapan itu, polis merampas pelbagai barangan dipercayai hasil pecah rumah termasuk 24 jam tangan pelbagai jenama, enam gelang tangan dipercayai jed, empat rantai manik pelbagai saiz dan warna dipercayai jed, seutas rantai emas dan masing-masing dua cincin berlian serta emas.

“Siasatan awal mendapati keempat-empat suspek mengaku terbabit dalam kes yang disiasat itu,” katanya.

Shamsul Amar berkata, polis turut merampas dua kenderaan serta pelbagai peralatan pecah rumah termasuk kuku kambing, spanar boleh laras, pemutar skru serta sarung tangan.

Katanya, tiga daripada lima suspek yang ditahan itu memiliki pelbagai rekod lampau termasuk mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, Seksyen 379 Kanun Keseksaan, Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Shamsul Amar berkata, dalam kejadian jam 10.15 pagi pada 22 Jun lalu, mangsa yang juga suri rumah kerugian RM500,000 selepas kediamanny­a dipecah masuk.

“Menurut anak mangsa, dia mengemas rumah itu kerana ibunya (suri rumah terbabit) tidak tinggal di rumah berkenaan.

“Sejurus tiba di rumah itu dia mendapati dua besi tingkap rumah bahagian hadapan jenis nako dipotong dan dimasuki pencuri.

“Dia segera menghubung­i polis untuk memaklumka­n kejadian dan polis tiba di lokasi 15 minit kemudian,” katanya.

Shamsul Amar berkata, rumah terbabit milik ibu pengadu yang tinggal di situ 40 tahun lalu namun sejak dua tahun lalu ibunya tinggal di Sungai Buloh menjaga abang kedua pengadu yang mengalami strok.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia