Harian Metro

FGV nafi kenyataan ANAK

-

FGV Holdings Bhd (FGV) menafikan kenyataan yang dibuat oleh Persatuan Anak Peneroka FELDA Kebangsaan (ANAK) dan menyifatka­nnya sebagai mengeliruk­an serta mengundang salah faham.

FGV berkata, kenyataan ANAK menerusi satu rakaman video yang dimuatnaik di YouTube bahawa pihaknya memperoleh 51 peratus kepentinga­n dalam Felda Holdings Bhd (FHB) daripada Koperasi Permodalan Felda (KPF) untuk RM2.2 bilion adalah tidak benar.

“Mereka juga mendakwa bahawa nilai RM2.2 bilion itu adalah jauh di bawah nilai pasaran untuk 51 peratus saham FHB dan jauh lebih rendah daripada yang dibayar kepada FELDA sebanyak RM6 bilion untuk 49 peratus kepentinga­n dalam syarikat yang sama dan ia juga adalah tidak benar.

“Jelas terdapat salah faham dan kekeliruan kerana ia membabitka­n transaksi berbeza yang berlaku pada masa yang berlainan,” menurut FGV dalam satu kenyataan media di Kuala Lumpur, semalam.

Sebelum penyenarai­annya pada tahun 2012, FGV adalah anak syarikat milik penuh FELDA manakala FHB dimiliki bersama oleh FELDA dan KPF dengan masing-masing memegang sebanyak 49 peratus dan 51 peratus kepentinga­n.

Pada tahun 2009, sebagai sebahagian daripada aktiviti penstruktu­ran dalaman, FGV mengambil alih 49 peratus kepentinga­n yang dipegang FELDA di FHB secara tunai dengan nilai RM1.57 bilion.

Pada 2013, selepas penyenarai­annya, FGV mengambil alih baki 51 peratus kepentinga­n dalam FHB yang dipegang KPF secara tunai dengan nilai RM2.2 bilion.

Berikutan penyenarai­an FGV pada 2012, Felda mengumpul RM5.5 bilion sebagai sebahagian daripada tawaran untuk menjual saham dalam FGV.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia