Kisah mangsa terperangkap bakal difilemkan
Los Angeles: Sebuah syarikat produksi merancang untuk menerbitkan sebuah filem berkaitan operasi menyelamat sekumpulan 12 pelajar dan jurulatih bola sepak mereka yang terperangkap selama 18 hari di sebuah gua di utara Thailand.
Pure Flix Entertainment dengan kerjasama Kaos Entertainment merancang menerbitkan filem berkenaan dengan bajet berjumlah AS$45 juta (RM182 juta).
Ketua Pegawai Eksekutif Pure Flix, Michael Scott yang sering berada di Thailand juga pergi ke gua Tham Luang di wilayah Chiang Rai selama beberapa hari ketika operasi menyelamat berlangsung.
Semua pelajar dan jurulatih berkenaan terperangkap di gua itu sejak 23 Jun lalu selepas dilanda banjir sebelum diselamatkan dalam satu operasi selama tiga hari bermula Ahad lalu.
“Keberanian dan keperwiraan yang saya saksikan sangat memberi inspirasi. Jadi, ya, ini akan menjadi sebuah filem untuk kami,” katanya kepada The Hollywood Reporter.
Menurutnya, ketika ini tiada pelakon, penulis skrip atau pengarah yang dilantik.
Bagaimanapun, Scott memberitahu, dia berbual dengan beberapa penyelam yang terbabit dalam operasi berkenaan dan dengan keluarga mangsa melalui pihak ketiga.
Tambahnya, isterinya juga adalah rakan kepada Saman Kunan, bekas penyelam pasukan SEAL Thailand yang maut ketika menghantar bekalan oksigen kepada mangsa pada Jumaat lalu.
“Ini bukan semata-mata sebuah filem tetapi satu penghormatan kepada sesiapa yang terbabit dalam operasi ini termasuk penyelam yang terbunuh,” katanya. - Agensi