5 sindiket tumpas
Penjenayah terbabit curi kenderaan, pecah rumah, rompakan
Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching menumpaskan lima sindiket jenayah sepanjang enam bulan pertama tahun ini hasil komitmen termasuk dedikasi pegawai dan anggota bertugas.
Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Ng Ah Lek berkata, sindiket jenayah ditumpaskan itu masing-masing dua membabitkan curi kenderaan dan pecah rumah manakala satu lagi membabitkan kes rompakan.
Beliau menjelaskan dengan tertumpasnya sindiket itu, pihaknya yakin menyelesaikan kes jenayah dilakukan kumpulan itu sejak beberapa bulan lalu.
“Usaha polis mengekang jenayah meningkatkan rasa selamat dalam kalangan orang ramai khususnya penduduk setempat.
Komitmen pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching menyelesaikan pelbagai kes dilakukan sindiket itu,” katanya.
Beliau ber kata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan IPD Kuching di sini, semalam, yang dihadiri Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Abang Junaidi Abang Anuar.
Ng berkata, sepanjang tempoh sama juga, IPD Kuching menumpaskan 212 aktiviti perjudian membabitkan rampasan wang tunai RM41,776 selain 249 tangkapan.
“Saya berharap kerjasama erat antara polis dan masyarakat ditingkatkan agar kadar jenayah diturunkan ke tahap minimum dengan pertukaran maklumat. Kami memberi penumpuan terhadap aktiviti perjudian haram kerana dikenal pasti punca pelbagai penyakit sosial dalam masyarakat,” katanya.